Paling Popular
Terkini

ULASAN | Hari ini adalah hari ulang tahun ke-50 Rukun Negara Malaysia dibentuk. Rukun Negara telah dibentuk setahun selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Yang Dipertuan Agong telah mengisytiharkan darurat pada ketika itu dan negara kita pada waktu itu telah ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mageran seterusnya menubuhkan Majlis Perundingan Negara yang kemudiannya bertanggungjawab menggubal Rukun Negara.

Rukun Negara merupakan ideologi negara dalam membentuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia pada ketika itu.

Rukun Negara telah menggariskan limaobjektif yang kemudiannya menggariskan lima prinsip-prinsip yang perlu dihayati sepenuhnya bagi mencapai objektif tersebut.

Lima prinsip yang digubal ini dilihat dapat memperkukuhkan dan mengeratkan perpaduan di antara kaum di Malaysia.

Oleh itu, Rukun Negara sangat penting sebagai peraturan dan norma hidup rakyat Malaysia bagi mewujudkan perpaduan antara kita yang hidup di kalangan pelbagai kelompok masyarakat, etnik dan agama.

Namun masihkah kita menghayati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara bagi membolehkan kita mencapai objektif yang digariskan?

Sememangnya hidup di dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum masyarakat, etnik dan agama sangat mencabar.

Kita acap kali menuding kepada perbezaan yang ada dan menjadikan ia sesuatu yang buruk daripada menjadikan perbezaan itu satu keistimewaan.

Kita juga sering mengguris perasaan teman-teman yang berbeza dengan kita sama ada kita sedar atau tidak, kerana kita kurang memahami cara hidup mereka.

Justeru adakah Rukun Negara masih menjadi pegangan hidup kita? Adakah kita masih melihat dan merujuk kepada prinsip-prinsip Rukun Negara?

Masalah rasis di kalangan kita semakin memburuk. Bukan sahaja antara kita sesama sendiri tetapi juga terhadap rakyat asing yang berteduh di negara kita yang makmur ini.

Terbaru, perdebatan hangat mengenai pendatang tanpa izin dan juga pelarian Rohignya berlaku dengan hebat sekali di sosial media.

Nyawa seorang manusia

Masing-masing antara kita berhujah dengan petah mengenai buah fikiran masing-masing. Namun kita lupa yang kita debatkan ini adalah nilai harga nyawa seseorang manusia yang mempunyai hak untuk terus hidup.

Benar mereka adalah pendatang tanpa izin, namun itu tidak melayakkan kita untuk melayan mereka seperti bukan manusia.

Benar kita menuruti prinsip “kedaulatan undang-undang” seperti yang termaktub di dalam Rukun Negara namun itu tidak memberikan kita lesen untuk melayan mereka seperti mereka bukan manusia.

“Melahirkan sebuah masyarakat yang adil supaya dapat menikmati kemakmuran bersama” adalah salah satu objektif yang digariskan didalam Rukun Negara.

Adakah kita adil terhadap mereka dan terhadap kita sesama sendiri?

Di manakah “kesopanan dan kesusilaan” kita dalam hal ini?

Pada bulan Mac yang lalu telah berlaku rampasan kuasa dalam tampuk pemerintahan negara kita.

Pertemuan di sebuah hotel di Petaling Jaya yang dianggap titik penting untuk 'Langkah Sheraton'

Sistem demokrasi kita telah dicabul dengan rakus oleh ahli politik yang telah dipilih rakyat melalui satu sistem demokrasi yang dipanggil “pilihan raya”.

Mereka belot bukan sahaja kepada pakatan yang telah mereka tubuhkan tetapi juga belot kepada rakyat dan mandat rakyat demi kepentingan diri sendiri.

Adakah ini yang dimaksudkan dengan objektif “memelihara satu cara hidup yang demokratik”?

Setelah berjaya menubuhkan kerajaan, kerajaan baru ini dilihat cuba menyekat kebebasan rakyat terutamanya dalam bersuara.

Terbaru kita dengar laporan meyebut peserta program Parlimen Digital “dipanggil” oleh PDRM untuk siasatan berkaitan dengan program tersebut.

Ia dinafikan oleh ketua polis negara. Namun penganjur mendakwa mempunyai bukti dan rekod berkaitan dengan siasatan yang dijalankan ke atas peserta mereka.


Polis tak panggil peserta Parlimen Digital untuk disoal, kata Hamid


Parlimen Digital diadakan adalah sebagai satu usaha untuk menunjukkan kepada kerajaan yang baru bahawa persidangan parlimen boleh diadakan secara digital dengan teknologi yang sedia ada.

Covid-19 dijadikan alasan

Ini kerana pihak kerajaan enggan bersidang di parlimen dengan menggunakan alasan pandemik Covid-19.

Penganjur dan peserta telah mengadakan persidangan seakan-akan persidangan parlimen dengan membahaskan dua usul yang berkaitan dengan belia yang menghadapi kesan pandemik Covid-19, seperti mana yang seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan – mengadakan sidang parlimen untuk meluluskan peruntukan, undang-undang dan perkara lain untuk negara menghadapi pandemik Covid-19 ini.

Adakah tindakan siasatan ini menepati prinsip “keluhuran perlembagaan”, ketika perlembagaan kita menjamin kepada kebebasan bersuara oleh setiap rakyat Malaysia.

Bukankah tindakan ini juga menghalang kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden – iaitu salah satu objektif yang terkandung di dalam Rukun Negara.

Masihkah Rukun Negara ini diangkat dan dijadikan panduan kepada kehidupan kita seharian? Itu persoalan yang perlu kita tanya kepada diri kita.

Juga persoalan yang paling penting, adakah kita sendiri tahu dan sedar akan kewujudan Rukun Negara, objektif dan prinsip-prinsip Rukun Negara itu?

Sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, Kementerian Belia dan Sukan telah melancarkan Sekolah Rukun Negara yang mana objektifnya ialah untuk memupuk amalan Rukun Negara di kalangan belia.

Program seperti ini perlu dikekalkan dan diperluaskan terutamanya di peringkat sekolah-sekolah agar generasi baru dapat menilai dan dapat menghayati Rukun Negara dengan lebih mendalam.

Landasan kemakmuran dan keharmonian telah lama wujud dalam negara ini. Kita seharusnya berterusan menyelusuri landasan ini dan memperbaiki seiring dengan arus perkembangan semasa.

Kita seharusnya (Rakyat Malaysia sepatutnya) sudah menjadi masyarakat yang moden dan progresif, bukan menjadi masyarakat yang semakin mundur pemikiran kerana kita sering mementingkan diri sendiri.

Hidup berharmoni itu haruslah mempunyai kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain.

Pemimpin pula adalah jambatan keharmonian yang menjalinkan dan menghubungkan antara satu pihak dengan pihak yang lain, bukan menjadi api yang membakar sekam dengan melaungkan dan membakar sifat kebencian antara kita sendiri.

Selamat hari ulang tahun ke-50, Rukun Negara. Semoga satu hari nanti rakyat Malaysia akan berjaya mencapai objektif yang telah digariskan.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS