Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertembungan Umno-Bersatu jadi 'kudis takkan sembuh'
Diterbitkan:  Jul 10, 2020 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Pertembungan kepentingan membabitkan Umno dan Bersatu kini membengkak dan bakal menjadi kudis yang tidak akan sembuh, kata Pemuda DAP Johor.

Ketuanya, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata perang mulut di antara beberapa pemimpin kedua-dua parti membabitkan kerusi parlimen Mersing menghantar isyarat bahawa hubungan Umno dan Bersatu bukanlah akrab seperti adik-beradik.

Katanya krisis itu dijangka akan menjadi lebih parah tidak lama lagi kerana sebelum ini ia kurang diperhatikan akibat 'rahmat tersebumbunyi' daripada isu ancaman wabak Covid-19.

"Namun untuk hari-hari mendatang, kita bakal menyaksikan fasa pertelingkahan dalaman Perikatan Nasional (PN) yang lebih hebat lagi.

"Bagi Umno, kewujudan PN hanyalah senjata untuk mereka merampas kuasa daripada Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ada beberapa isu yang membelenggu hubungan Umno dan Bersatu di sebalik kedudukan mereka sebagai parti dalam kerajaan PN.

Misalnya ketetapan menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri PN untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang mesti diadakan kira-kira dua tahun saja lagi.

Pengkhianat tak dapat kepercayaan

Terkini, perang mulut di antara pemimpin kedua-dua parti ekoran kenyataan Anggota Parlimen Mersing mewakili Bersatu, Dr Abdul Latiff Ahmad, yang mendakwa Umno sudah "tidak laku" lagi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu - yang memenangi kerusi Mersing atas tiket Umno pada PRU ke-14 lalu sebelum melompat menyertai Bersatu - sudah meminta maaf.

Namun pemimpin kanan Umno, termasuk presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu mahu meletakkan calonnya di Mersing dalam PRU akan datang.

Sheikh Umar berkata Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak kini bukan saja memperbudak-budakkan pemimpin Bersatu malah tindakan mereka dianggap tamparan kepada Muhyiddin.


Baca ‘Saya tak minta jumpa, tapi tuntut Latiff lepas jawatan’


Katanya kesilapan Abdul Latiff itu menjejaskan peluang Bersatu untuk bertanding di kerusi parlimen Mersing tidak lama lagi.

"Perang mulut ini adalah bibit-bibit awal untuk Umno akan menelan Bersatu menjelang PRU ke-15.

"Keadaan ini pasti akan membuat Muhyiddin tidak ada pilihan lain kecuali kembali menyertai Umno - dan menguburkan Bersatu - atau kekal sebagai perdana menteri yang menunggu masa dibaham oleh pewaris rejim kleptokrat pada bila-bila masa," katanya.

Shiekh Umar yang juga anggota Jawatankuasa DAP Johor menambah, apa yang berlaku sekarang juga membuktikan bahawa pengkhianatan akan dibalas dengan pengkhianatan lain.

Pengkhianat tidak akan pernah mendapat kepercayaan oleh rakan pengkhianat lain.

"Kumpulan ini akan hidup dalam paranoid setiap masa. Sedikit demi sedikit, mereka pasti akan ditelan oleh dosa-dosa politik mereka sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS