Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghargaan diberi pada Umno macam tak dihargai - Rais
Diterbitkan:  Jul 11, 2020 11:33 AM
Dikemaskini: 8:42 AM

Anggota Majlis Pimpinan Bersatu, Dr Rais Yatim, menyatakan rasa terkilannya terhadap kepemimpinan Umno yang dilihat lebih mementingkan kerusi yang akan ditandingi nanti berbanding mempertahankan kuasa Melayu Islam.

Bekas menteri itu berkata kecenderungan pemimpin Umno khususnya yang senior memperkatakan kerusi dilihat seolah-olah tidak menghargai kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Rais, pemimpin-pemimpin senior Umno sepatutnya lebih mengutamakan perjuangan mempertahankan kuasa Melayu Islam berbanding isu perebutan kerusi kerana usaha tersebut penting bagi mengekalkan kerajaan hari ini.

“Bab paling penting ialah mengekalkan kuasa Melayu Islam, tetapi Umno tidak menyebut perkara itu. Penghargaan diberikan kepada mereka juga seperti tidak dihargai.

“Sepatutnya perlu diberikan markah kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana beliau memberi tempat kepada mereka. Setakat ini, perkara itu nampak tidak menjadi hal.

“Walaupun (Umno) daripada parti yang kalah tetapi ia mendapat kedudukan hebat dan puluhan (jawatan) GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Jadi saya tidak faham kenapa,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.

Rais berkata demikian mengulas mengenai isu perebutan kerusi parlimen yang kini diwakili Bersatu tetapi mahu diambil semula oleh Umno.

Antara kerusi yang sedang diperkatakan ialah Mersing membabitkan penyandang, Dr Abdul Latiff Ahmad. Ia berpunca daripada kenyataan menteri pembangunan luar bandar itu yang didakwa disalah tafsir.

Mahu Rais bermuhasabah

Abdul Latiff - yang memenangi kerusi Mersing atas tiket Umno - bagaimanapun sudah membuat permohonan maaf.

Sementara itu mengulas laporan berkenaan, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii berkata Umno sebenarnya tidak berminat menjaja cerita pembahagian kerusi.

Namun, kata Mohd Razlan, sengketa itu dimulakan oleh Bersatu sendiri menerusi kenyataan Abdul Latiff.

Katanya, Rais harus sedar Bersatulah yang memecahkan kuasa Melayu Islam apabila "bersekongkol" dengan DAP sehingga mendakwa parti tersebut bagai kaduk naik junjung

Dia turut menegaskan isu pembahagian kerusi sudah jelas iaitu semua kawasan yang ditandingi Umno-BN pada PRU-14 adalah kekal dan mana-mana pihak yang mahu mengambilnya harus berunding dengan baik, bukan menghina.

Bagi Razlan juga, tidak menjadi kesalahan untuk Umno diberikan jawatan dalam GLC memandangkan kerajaan hari ini dibina dengan sokongan Umno.

“Saya berpendapat secara peribadi Umno tidak ada masalah untuk melepaskan semua jawatan di dalam GLC dan menarik semula sokongan kepada kerajaan PN, cuma adakah ini yang Rais mahukan?

“Akhir sekali, saya mohon Rais bermuhasabah diri dan tetapkan pendirian kerana beliau juga harus jelaskan apakah sebenarnya prinsip perjuangan beliau yang agak berbolak-balik dengan 'kolam-kolam' berlainan,” katanya.

Lihat Komen
ADS