Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gabungan NGO: DAP perlu lebih hati-hati jaga sensitiviti Melayu

Sebuah gabungan NGO hari ini berpandangan DAP perlu lebih berhati-hati dalam menjaga sensitiviti masyarakat Melayu di negara ini memandangkan wujudnya persepsi salah dan salah faham terhadap parti itu di kalangan kaum majoriti itu.

Penyelaras Gerakan Reformis Malaysia (GRM) Mustaffa Kamil Ayub berkata, penting bagi orang Melayu sebagai kaum majoriti untuk tidak berasa terancam dengan kedudukannya di negara ini.

“Latar hari ini, banyak salah faham itu (yang berlaku) adalah dari orang Melayu kepada bukan Melayu, terutama kepada DAP.

“[...] Kita menyeru kepada rakan-rakan kita DAP, supaya mereka juga lebih berhati-hati dalam kenyataan dan pendekatan mereka supaya orang Melayu (yang merupakan) majoiriti dalam negara ini tidak berasa terancam dengan kedudukan mereka,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui ia hanyalah persepsi dan usaha boleh dilakukan untuk membetulkannya.

Mustaffa berkata demikian apabila ditanya sama ada DAP adalah kelemahan terbesar dalam PH kerana tidak boleh diterima oleh orang Melayu, sehingga menyebabkan pentadbiran gabungan itu tumbang setelah hanya 22 tahun memerintah.

GRM merupakan gabungan baru yang baru dibentuk beberapa hari lalu, menggabungkan 10 NGO, iaitu Persatuan Rapat Rakyat (Rapat), Pro98 Reformis, Otai Reformis, Jingga 13 Malaysia, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (Pahlawan), Gerakan Reformasi Veteran ATM, Persatuan Media Sosial Malaysia (Permassa), Gerak Aktif Sosioekonomi Amal Kebajikan (Gasak), dan Pertubuhan Gerakan Pejaung Negara Malaysia (GMPN).

Kebanyakan NGO berkenaan memang dikenali sebagai badan penyokong tegar Anwar Ibrahim, dan menyokong Anwar sebagai perdana menteri kesembilan.

Sementara itu, Mustaffa berkata rakyat Malaysia tidak boleh dibiarkan diapi-apikan oleh mana-mana parti politik yang memainkan sentimen perkauman.

"Jangan kita bangkitkan sentimen kaum dan agama, kita hormati sesama kita dan kita iktiraf kedudukan orang Melayu yang majoriti dan agama Islam sebagai agama persekutuan, dan agama lain bebas diamalkan dalam negara.

“Kalau kita ada prinsip itu, yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, kita tak akan bertekak," katanya sambil membangkitkan pendekatan Anwar yang menurutnya bersifat inklusif tetapi tetap mengiktiras kaum Melayu sebagai teras di Malaysia.

Pentadbiran PH tumbang pada akhir Februari lalu apabila Bersatu keluar daripada gabungan itu dan menubuhkan PN bersama-sama Umno-BN, PAS, GPS, PBS, Star dan bekas anggota Parlimen PKR.

Sepanjang 22 bulan mentadbir, PH diselubungi perselisihan pendpat berhubung isu peralihan kuasa perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar yang gagal menyatakan tempoh masa yang jelas, selain pergaduhan dalam PKR antara Anwar dan Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, ia juga dilemparkan dakwaan dikuasai DAP - terutama oleh Umno dan PAS - dan melaksanakan dasar yang menggugat kedudukan Melayu dan Islam di negara ini. PH konsisten menafikan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS