Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Dr Mahathir Mohamad bukan ahli pembangkang, beliau cuma seorang rakyat Malaysia yang berani bercakap.

Setelah membaca media arus perdana, blog Jeff Ooi dan surat-surat pembaca malaysiakini , amat jelas bagi saya bahawa perbuatan Dr Mahathir mengkritik keras pentadbiran Abdullah adalah sesuatu yang positif.

Secara tidak langsungnya, Dr Mahathir telah membuat reformasi, sekurang-kurangnya dalam aspek tanggungjawab kerajaan menjawab rakyat. Ini soal akauntibiliti. Sebagai kerajaan yang dipilih, para pemilih berhak mendapat jawapan dan penjelasan jika berlakunya kesilapan.

Yang sedihnya, lihatlah bagaimana segelintir orang Umno dan orang kerajaan membuat reaksi terhadap kritikan Dr Mahathir. Mereka yang paling terasa oleh kritikan tersebut adalah mereka yang paling kuat membalas cakap Dr Mahathir. Nazri, seperti seorang samseng handalan, membuat cabaran yang kurang budi-bahasanya terhadap bekas bosnya.

Dia menggesa Dr Mahathir meninggalkan Umno hanya kerana bekas 'bos'nya telah membuat kenyataan mempersoal integriti dan kecekapan kerajaan semasa berucap dalam suatu majlis yang juga dihadiri oleh ahli pembangkang.

Apakah wajar sebagai seorang ahli Umno, seseorang itu mendiamkan diri walaupun kerajaan Umno telah banyak membuat silap? Dasar ketelusan, dasar berani menyoal, dasar tidak tunduk kepada yang berkuasa, dan hak berucap akhirnya mula kembali berakar di Malaysia, setelah lama diperintah oleh seorang 'Firaun'.

Yang pelik dan ironisnya, 'Firaun' itulah yang memulakan reformasi ini setelah dia bersara. Oleh kerana sikap berjuang dan berani menyoal bersama-sama dengan status negarawan yang disanjungi ramai yang juga seorang ahli Umno veteran, beliau telah menjadi suatu suara yang sukar untuk tidak dipeduli oleh kerajaan.

Negara ini, yang telah lama tidak mempunyai kuasa pembangkang yang dapat membayangi kuasa kerajaan Umno, kini menaruh harapan pada bekas Perdana Menteri kita. Namun demikian, jangan harap Dr Mahathir akan menjadi ahli pembangkang. Saya berpendapat beliau cuma menyoal isu-isu yang telah melukai egonya, kes-kes lain jika tidak membawa kepada kepentingan beliau, tidak akan diketengahkan.

Oleh itu, adalah penting bagi rakyat Malaysia meneruskan budaya berani berucap dan berani menyoal ini.

ADS