Malaysiakini
BERITA

LANGSUNG| Mahkamah tangguh keputusan kes Mkini, ketua pengarang

Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jul 2020, 8:50 pagi

KES MKINI | Mahkamah Persekutuan akan mendengar prosiding hina mahkamah terhadap Malaysiakini di Istana Kehakiman di Putrajaya pada hari ini, yang mungkin menyaksikan portal berita bebas itu didenda dan ketua pengarangnya Steven Gan dipenjara.

Malaysiakini membawakan laporan langsung dari Istana Kehakiman, Putrajaya.


LANGSUNG

Terima kasih kerana mengikuti laporan Malaysiakini'

12.40 tengah hari  - Laporan oleh Hidir Reduan Abdul Rashid dan Hariz Mohd. Gambar oleh Mukhriz Hazim. Kemas kini oleh Ewe Linq Yenn.

Jika pembaca menyukai media bebas, silalah melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 a day. Sila klik di sini.


Mahkamah tangguh keputusan kes Mkini, ketua pengarang

12.32 tengah hari - Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman kes pendakwaan Peguam Negara terhadap Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya Steven Gan.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf berkata panel tujuh hakim memerlukan masa untuk membuat pertimbangan.

Beliau berkata mahkamah akan memaklumkan tarikh keputusan kemudian.

Prosiding hari ini ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.


11.57 - Perbicaraan bersambung.


11.28 pagi - Prosiding berehat sebentar.


Sedia ruang komen tak cukup, mesti bukti ada niat sebenar - Peguam

11.05 pagi - Hasrat sebenar untuk menerbitkan komen yang dianggap menghina mesti dibuktikan untuk menyebabkan penghinaan, kata peguam.

Peguam Malaysiakini Malik Imtiaz berhujah bahawa dengan menunjukkan penerbitan sahaja ia tidak mengundang penghinaan.

"Ini mesti disiarkan secara sengaja, mesti ada niat untuk menerbitkan bahan skandal itu," kata Malik.

"Kemudahan semata-mata (dengan menyediakan bahagian komen) untuk menghantar komen tidak cukup untuk menarik tanggungjawab undang-undang," kata Malik.

Beliau berkata jika hanya kemudahan ruang yang diperlukan untuk mendakwa kes menghina mahkamah, maka kehakiman akan sibuk dengan kes-kes yang melibatkan banyak syarikat kerana dituduh menghina mahkamah.

Malik berkata ini kemudian akan membawa kesan, antaranya dari segi pelaksanaan kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.


Steven Gan tak terlibat dengan sengaja terbit komen, kata peguam

10.50 pagi - Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan tidak terlibat sama sekali untuk dengan sengaja menerbitkan komen-komen menghina mahkamah di bawah artikel di dalam talian itu, kata peguam Malik Imtiaz.

Peguam itu berhujah Gan hanyalah ketua pengarang portal berita dalam talian dan tidak mempunyai kawalan terhadap komen yang dimuat naik oleh pengguna di platform.

Malik berpendapat afidavit yang difailkan di mahkamah juga menunjukkan perkara itu.

"Kenapa memilihnya, nasibnya hanya kerana beliau ketua pengarang?" Hujah Malik.


Hakim kata niat nak terbit komen perlu dibukti

10.39 pagi - Seorang anggota panel tujuh hakim memberitahu peguam kerajaan bahawa mereka perlu membuktikan niat dalam kes penghinaan mahkamah.

Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh berkata ini ketika peguam kanan persekutuan S Narkunavathy mengemukakan hujah kepada mahkamah dalam kes penerbitan niat itu tidak diperlukan.

"Kami mengatakan bahawa niat tidak diperlukan dalam penerbitan. Mereka menyediakan platform (komen), mereka membenarkannya (diterbitkan) ...," kata Narkunavathy.

Zawawi: Pasti ada. Anda mesti membuktikan tanpa keraguan yang munasabah bahawa mereka mempunyai niat.

Anggota panel yang lain, Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan kemudian menambah, memetik kes penghinaan mahkamah baru-baru ini terhadap peguam Arun Kasi.

Beliau berkata bahawa dalam kes Arun Kasi, niat untuk menerbitkan jelas.

Hal ini kemudiannya dipersetujui oleh Narkunavathy.


Hakim: Apakah cuai sederhana komen sama dengan hina mahkamah?

10.35 pagi - Salah seorang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan bertanya peguam kerajaan sekiranya kecuaian pihak Malaysiakini dalam menyederhanakan komen di laman webnya adalah bersamaan dengan menghina mahkamah.

Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli menimbulkan persoalan itu apabila peguam kanan persekutuan S Narkunavathy bersetuju bahawa penghujahannya adalah untuk membuktikan Malaysiakini tidak melakukan langkah pentadbiran yang tepat dalam menyaring komen.

Abdul Rahman: Kecuaian ... Tetapi adakah itu sama dengan menghina (mahkamah)?

Disebabkan mereka tidak meletakkan (langkah) yang wajar, maka anda mengatakan bahawa mereka lalai?

Nakurnavathy: Ya begitulah.

Abdul Rahman: Tetapi apakah itu mencukupi untuk prosiding menghina mahkamah?

Anggota panel hakim yang lain, Nallini Pathmanathan kemudian menambah, kecuaian tidak sama dengan menghina mahkamah.


Peguam k'jaan tarik balik hujah cubaan perkenal bukti baru

10.15 pagi - Malik Imtiaz Sarwar, peguam utama yang mewakili Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan, mengemukakan bantahan terhadap percubaan peguam kerajaan untuk memperkenalkan bukti baru yang keluar daripada pernyataan mereka mengenai kes ini.

Ini selepas peguam kanan persekutuan S Narkunavathy mahu mengemukakan hujah mengenai bagaimana pengunjung laman Malaysiakini bukan pelanggan boleh melihat dan berkongsi komen yang disiarkan di situ.

"Ini sangat memudaratkan anak guam saya," katanya kepada mahkamah.

Narkunavathy kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau menarik balik hujah tersebut.


Peguam k'jaan mahu tahu perincian sistem tapisan komen Mkini

10.10 pagi - Peguam kanan persekutuan S Narkunavathy akan memanggil seorang pakar untuk melakukan pemeriksaan balas terhadap sistem yang digunakan oleh Malaysiakini untuk menapis komen di portal berita itu.

Katanya, permohonan dibuat untuk pemeriksaan balas terhadap seorang saksi pakar yang memberikan laporan mengenai sistem Malaysiakini. Laporan tersebut dimasukkan ke dalam afidavit balasan pihak responden.

Menurut Narkunavathy, mereka ingin mengetahui sekiranya Malaysiakini boleh menambahkan lebih banyak perkataan ke dalam sistemnya yang digunakan untuk menyaring kata-kata carutan daripada dimuat naik oleh pengulas.

"(Sistem itu) tidak akan mengambil semua 2,000 komen tetapi mungkin mengambil peratusan tertentu di mana pentadbir komen dapat melihat dan memutuskan apakah ini perlu dibiarkan atau harus dipadamkan," katanya, merujuk kepada afidavit Malaysiakini yang mengatakan bahawa mereka menerima lebih 2,000 komen setiap hari di laman web itu.

Peguam kerajaan itu juga memberitahu mahkamah bahawa laporan pakar berkenaan tidak menjelaskan tentang bagaimana cara kerja pentadbir komen.

"Kami tidak tahu daripada laporan ini siapa orang yang ditugaskan untuk melakukan ini, atau apakah langkah itu dilakukan secara berkala atau tidak."


Tak perlu buktikan Mkini berniat terbit komen - Peguam k'jaan

9.55 pagi - Peguam kanan persekutuan S Narkunavathy yang mewakili Peguam Negara memberitahu Mahkamah Persekutuan tiada peruntukan undang-undang yang memerlukan untuk menunjukkan Malaysiakini memiliki niat untuk menerbitkan komen yang menghina terhadap kehakiman.

Peguam kerajaan itu yang memetik Seksyen 114A Akta Keterangan juga mendakwa Malaysiakini telah memudahkan penerbitan komen itu dan dianggap telah menerbitkannya.

"Kami katakan tidak ada keperluan dalam undang-undang kepada pemohon untuk menunjukkan responden memang berniat untuk menerbitkan komen berkenaan," kata Narkunavathy.


Perbicaraan bermula

9.40 pagi - Prosiding bermula di hadapan panel tujuh hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf.

Panel hakim lain ialah Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, P Nallini, Vernon Ong Lam Kiat, dan Abdul Rahman Sebli.


9.03 pagi - Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan masuk ke Mahkamah Persekutuan.


Pada 2 Julai lalu, panel tujuh hakim mahkamah itu menolak permohonan Malaysiakini, yang difaikan pemiliknya Mkini Dotcom, untuk mengenepikan perintah untuk memulakan prosiding, yang difailkan Peguam Negara Idris Harun.

Gan, yang mengasaskan Malaysiakini bersama-sama CEO Premesh Chandran pada 1999, berikrar portal berita itu akan melawan pendakwaan tersebut.

"Kita harapkan yang terbaik. Pada masa sama, kita bersedia untuk yang terburuk," katanya semalam.

Idrus memulakan prosiding hina mahkamah terhadap lima komen pembaca dalam satu laporan Malaysiakini bertarikh 9 Jun, yang telah pun dipadam.

Idrus berkata komen tersebut antara lain "menggugat keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan secara nyata berniat menjatuhkan nama baik pentadbiran keadilan oleh badan kehakiman".

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, yang mengetuai panel tujuh hakim yang menolak permohonan Malaysiakini sebelum ini, berkata Mkini Dotcot telah memudahkan penerbitan komen pembaca tersebut.

Beberapa organisasi turut menjadi pemerhati dalam perbicaraan, termasuk Majlis Peguam, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Keputusan boleh diputuskan segera selepas peguam selesai memberikan hujah.

Jika Malaysiakini dan Gan disabit bersalah, hukuman boleh diputuskan pada hari sama. Tiada had perundangan untuk hukuman bagi dakwaan menghina mahkamah. 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.