Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat penyelewangan jualan lelong kereta mewah yang didakwanya berlaku dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Menurutnya, BPR tidak perlu menunggu beliau atau orang ramai membuat aduan rasmi kerana siasatan boleh dilakukan dengan hanya berdasarkan laporan akhbar.
"Segala maklumat mengenai dakwaan penyelewengan tersebut sudah ada dalam akhbar. Tak kan nak tunggu saya buat laporan BPR....memang saya boleh buat laporan tetapi sebagai kakitangan kerajaan saya rasa tidak molek.
"Biar orang lain yang buat laporan tetapi BPR tetap boleh mulakan siasatan melalui maklumat yang dilaporkan oleh akhbar," kata kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beberapa hari lalu, Setiuasaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya menggesa Mohd Said supaya membuat laporan kepada BPR supaya siasatan terhadap kes itu boleh dibuat.
Sebelum itu, ahli Parlimen Jasin itu mempersoalkan bagaimana sebuah kereta Mercedez Benz bernilai RM200,000 di pasaran, dilelong pada harga RM40,000 sahaja oleh KDRM.
Dilelong murah
"Adakah patut sebuah kereta Mercedez yang bernilai RM200,000 di pasaran terbuka, dilelong dengan begitu murah?" tanya beliau.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, beliau berkata, lelongan kereta oleh KDRM juga merupakan salah satu sumber pendapatan negara dan oleh itu ia perlu dibuat secara adil dan telus.
Beliau juga mendakwa, banyak berlaku penyelewengan dalam lelongan kereta mewah oleh jabatan tersebut termasuklah melelongnya secara tertutup kepada para pegawai kanan KDRM dan pegawai kanan kerajaan sahaja.
Katanya, beliau pernah cuba membeli sebuah kereta Mercedez Benz dengan harga lelongan RM40,000 tetapi malangnya KDRM telah memperuntukkannya kepada orang lain.
"Saya terkejut apabila seorang pegawai Kastam memberitahu bahawa kereta itu sudah ada pemilik sedangkan ia belum dilucut hak," katanya lagi.
Mohd Said berkata, beliau membangkitkan isu ini bukan sebab kecewa kerana gagal membeli kereta lelong dari KDRM tetapi semata-mata kerana tidak mahu kerajaan terus rugi kerana kereta dilelong terlalu murah.
