Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu roboh tempat ibadat Hindu : MB Kedah jangan putar belit - Ramasamy
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 4:38 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Pemimpin DAP, P Ramasamy mengingatkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak memutarbelitkan fakta apabila mengatakan kerajaan negeri telah menawarkan tapak alternatif bagi tempat sembahyang Hindu yang dirobohkan di Jalan Stesen Alor Setar, Kedah pada 9 Julai lalu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu, pihak pengurusan tempat sembahyang berkenaan memberitahu tidak ada sebarang tapak alternatif ditawarkan atau dirundingkan oleh mana-mana pihak. 

"MB Kedah telah mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat berkenaan hal ini dan menurutnya kuil ini telah didirikan sejak 1946.

"Saya tidak mengungkit apa-apa jenis isu perkauman tetapi hanya ingin mempertahankan hak masyarakat Hindu di Malaysia. 

"Jangan memputar-belitkan fakta untuk menyahihkan tindakan anda," katanya dalam kenyataan media pagi tadi.

Sebelum ini dilaporkan, Pegawai khas menteri besar Kedah, B Kumaresan berkata tempat sembahyang tersebut dirobohkan selepas pihak berkenaan diberi masa secukupnya untuk berpindah.

Bagaimanapun, anggota jawatankuasa MIC Kedah, K Tamilarasu mendakwa kenyataan Kumaresan adalah tidak tepat.

Terdahulu, Muhammad Sanusi pagi tadi menegaskan perobohan tempat ibadat berdekatan Stesen Alor Setar itu dibuat berdasarkan undang-undang dan menafikan pihak berkuasa melakukan diskriminasi terhadap penganut Hindu.

Pada 9 Julai lalu, MBAS merobohkan tempat ibadat yang dikatakan berusia lebih 70 tahun itu pada awal pagi tanpa pengetahuan mana-mana pihak sehingga mengundang kemarahan penganut Hindu.

Sementara itu, Pengerusi Jawankuasa Tindakan Kuil Sri Madurai Veeran, R Kumaraguru Naidu berkata, kerajaan negeri tidak pernah menawarkan tanah sementara kepada tempat ibadat itu untuk berpindah.

"Saya sebagai wakil kuil dan bekas ahli Majlis MBAS boleh mengesahkan bahawa tidak ada tapak alternatif ditawarkan. Mungkin MB diberikan maklumat yang salah berhubung isu kuil ini," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, pihak berkenaan telah membuat membuat permohonan untuk menangguhkan perobohan tempat ibadat tersebut pada 6 Julai tetapi ia tetap dirobohkan tiga hari selepas itu.

Lihat Komen
ADS