Malaysiakini
BERITA

Pelantikan bukti k'jaan tidak diskriminasi jantina - Azalina

Bernama

Diterbitkan

Pelantikan wanita buat pertama kali dalam sejarah negara bagi memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat secara tidak langsung membuktikan kerajaan Malaysia tidak mendiskiriminasi jantina, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pengerang yang baru dipilih untuk jawatan itu, berkata ia membuktikan bahawa kerajaan hanya melihat pada kelayakan.

“Saya lihat ini satu pendekatan baik bagi Malaysia. Sebelum ini kita tahu bahawa pernah ada Timbalan Speaker wanita di Dewan Negara ...kini di Dewan Rakyat.

“Saya harap ini akan jadi langkah permulaan ...mungkin pada masa-masa akan datang ada speaker (wanita) untuk kedua-dua Dewan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

Azalina dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang Dipertua dewan berkuat kuasa hari ini selepas namanya dicadang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan.

Azalina mengakui berlaku ketegangan antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, bagaimanapun beliau berharap setiap Ahli Parlimen sedar tanggungjawab masing-masing di Parlimen.

“Jika kita tahu yang kita mewakili rakyat, jadi mari bincangkan tentang isu-isu rakyat.

“Kita ada rang undang-undang mengenai COVID-19, terdapat banyak undang-undang yang kita perlu teliti supaya negara boleh terus maju …harap semua Ahli Parlimen yang mewakili kawasan masing-masing bincangkan semua perkara ini,” katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.