Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN belum bercadang gubal undang-undang antilompat parti
Diterbitkan:  Jul 14, 2020 10:08 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

PARLIMEN | Perikatan Nasional buat masa ini dilihat tidak cenderung untuk menggubal undang-undang antilompat parti bagi mengelakkan berlaku ketidaktentuan politik dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata ketika ini kerajaan berpendapat setiap warganegara masih dijamin hak untuk bebas berpersatuan selaras dengan Perkara 10 (1) (C) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, sekiranya kerajaan berpandangan terdapat keperluan untuk menggubal undang-undang lompat parti ini pada masa akan datang, sudah pasti kajian terperinci akan dilakukan termasuklah dengan mengadakan perbandingan best practices (amalan terbaik) dengan negara-negara lain," katanya di Dewan Rakyat.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Dalam pertanyaannya Ramkarpal Minta meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengharamkan kegiatan lompat parti yang boleh menyebabkan ketidakstabilan politik.

"Sekiranya tidak, nyatakan sebab-sebabnya," kata Ramkarpal.

Hujung Februari lalu Malaysia menyaksikan pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada gabungan Bersatu, Muafakat Nasional dan BN yang kemudian disokong Gabungan Parti Sarawak.

Ia berlaku ekoran tindakan beberapa ahli parlimen PH meninggalkan gabungan tersebut dan menjadi wakil bebas.

Gabungan itu kemudian dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Bagaimanapun untuk rekod ia bukanlah kali pertama berlaku. Di bawah kerajaan PH pun sejumlah ahli parlimen mengambil tindakan melompat ke parti baru selepas BN gagal mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pusat.

Menurut Takiyuddin kajian secara terperinci mengenai hal itu perlu dilakukan kerana kerajaan berpendapat ia bercanggah dengan Perkara 10(1)(C) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak membentuk persatuan dengan syarat ia tidak membabitkan soal keselamatan, ketenteraman awam atau prinsip moral.

"Pihak kerajaan juga perlu mengadakan konsultasi dengan pelbagai pihak lain termasuklah badan bukan kerajaan dan parti politik jika ianya hendak digubal kelak," katanya.

 

Lihat Komen
ADS