Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Zahid sedia dahulukan AS$2.058j untuk pindah milik saham kepada anak

KES ZAHID | Ahmad Zahid Hamidi pernah menyatakan kesanggupannya untuk mendahulukan bayaran tunggakan hutang AS$2.058 juta ditanggung sebuah syarikat.

Langkah itu, kata seorang saksi, dicadangkan bagi membolehkan 60 peratus pegangan saham syarikat terbabit dipindah milik kepada anak presiden Umno itu, Nurulhidayah.

Bekas pengerusi Exim Bank, Mat Noor Nawi, berkata hasrat itu disuarakan menerusi satu panggilan telefon pada 19 Mei 2016. Katanya pada hari berkenaan Nurulhidayah membuat panggilan sebelum menyerahkan telefon tersebut kepada Ahmad Zahid.

“Seingat saya Nurulhidayah telah menyerahkan panggilan tersebut kepada Ahmad Zahid. Ahmad Zahid memberitahu saya bahawa Nurulhidayah berminat mengambil alih 60 peratus saham di dalam Ri-Yaz Asset Sdn Bhd (Ri-Yas Asset) daripada (Abdul) Rashid (Abdul) Manaf,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mat Noor memberikan keterangan sebagai saksi ke-76 pendakwaan dalam perbicaraan berhubung tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid.

Menurut keterangan saksi ke-75, Yap Mary yang merupakan pengurus cawangan CIMB Bank, Abdul Rashid merupakan pengerusi Ri-Yaz Asset pada waktu berkenaan.

Dalam pertemuan yang diadakan pada Jun 2016 bagi mendapatkan kelulusan Exim Bank berhubung perkara itu, Mat Noor memberitahu, beliau memaklumkan kepada Ahmad Zahid bahawa tunggakan bayaran balik pinjaman Ri-Yaz Asset adalah sebanyak AS$2.058 juta.

Empat kali bayar setahun

Katanya tunggakan tersebut perlulah dijelaskan terlebih dahulu sebelum proses pemindah milik saham itu dapat dilakukan.

Pertemuan setengah jam itu didakwa berlaku antara Mat Noor, Ahmad Zahid, Nurulhidayah, Norzilah Mohammed yang merupakan ketua pegawai eksekutif Exim Bank, dan Mohammad Shaheen Shah Mohd Sidek sebagai pengarah Ri-yaz Asset.

Ia berlangsung di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

“Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau sanggup membayar tunggakan hutang Ri-Yaz Asset sebanyak AS$2.058 juta tersebut dengan menggunakan wang yayasan. Namun, beliau tidak maklum kepada saya nama yayasan tersebut.

“Seterusnya Ahmad Zahid memberitahu kami bahawa sekiranya beliau mendahulukan wang yayasan, Nurulhidayah dan Shaheen perlu membuat membayar kembali wang yayasan tersebut,” katanya lagi dalam pernyataan bertulisnya.

Ri-Yaz Asset mempunyai pinjaman dengan Exim Bank berjumlah AS$24.8 juta untuk projek pembelian Hotel Bali di Indonesia. Ia perlu dibayar secara berperingkat selama lapan tahun, iaitu empat kali bayaran setiap tahun.

Jumlah AS$2.058 juta itu merupakan tunggakan bagi bayaran peringkat pertama untuk keseluruhan pinjaman berkenaan.

Permohonan pindah miliki saham itu kemudian dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Kredit (BCC) Exim Bank pada 22 Sept 2016 dan dipersetujui pada 14 Dis tahun berkenaan.

Namun ia tertakluk kepada syarat bahawa Rashid perlu kekal menjadi penjamin hutang Ri-Yaz Asset kepada Exim Bank dan dia mesti memegang sekurang-kurangnya 10 peratus saham dalam syarikat itu.

Bagaimanapun, tambah Mat Noor, setahunya Nurulhidayah tidak meneruskan niat membeli 60 peratus saham tersebut dan difahamkan ia kemudian dibeli syarikat dari Indonesia yang tidak diketahui.

Tidak anggap sebagai pelaburan

Terdahulu, Yap mengesahkan transaksi dua keping cek daripada Ri-Yaz Asset kepada Lewis & Co, masing-masing sebanyak RM254,879.10 bertarikh 15 Julai 2016, dan RM8,348,040.90 bertarikh 2 Mei 2017.

Sepanjang perbicaraan sebelum ini, pihak pembelaan konsisten mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, sebuah badan diasaskan oleh Ahmad Zahid.

Beliau juga menjadi pemegang amanah dan penandatangan tunggal bagi yayasan berkenaan.

Semasa perbicaraan sebelum ini, ada saksi yang mengesahkan akaun Lewis & Co sebagai akaun pelanggan (clients account).

Dalam pemeriksaan utama oleh Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Mat Noor bersetuju bahawa berdasarkan perkiraannya, AS$2.058 juta ketika itu bersamaan dengan jumlah RM8.348 juta, seperti yang dinyatakan dalam keterangan Yap.

Pun begitu, di sebalik kesanggupan Ahmad Zahid membayar tunggakan tersebut menggunakan wang yayasan, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, Mat Noor tidak bersetuju bayaran itu sebagai satu pelaburan oleh Yayasan Akalbudi, dan bukan oleh Nurulhidayah sendiri.

"Ini (kesanggupan Ahmad Zahid) adalah intention (niat) oleh beliau ketika itu untuk guna wang yayasan bagi menjelaskan bayaran balik. Itu niat dia.

"Tapi apabila bayaran sebenarnya berlaku, dalam rekod kita, ia datang dari Ri-Yaz Asset. Itu saja," katanya.

Pelaburan atau pendahuluan?

Soal pelaburan itu mula dibangkitkan oleh Ahmad Zaidi ketika merujuk perenggan “Q” di bawah Perkara 3 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (MMA) Yayasan Budi (nama asal Yayasan Akalbudi) berhubung objektif penubuhannya.

Ahmad Zaidi mencadangkan kepada Mat Noor bahawa Yayasan Akalbudi boleh membuat pelaburan berdasarkan perenggan Q yang membenarkan wang yayasan dilaburkan mengikut pertimbangan ahli lembaga pemegang amanah.

Bagaimanapun, Mat Noor tidak bersetuju dengan cadangan itu, kerana perenggan A hingga V di bawah Perkara 3 perlu merujuk kepada objektif yang digariskan dalam perkara itu sendiri.

Perkara 3 menyatakan objektif yayasan adalah “untuk menerima dan mengurus dana untuk pembasmian kemiskinan serta pemerkasaan kebajikan orang miskin, dan menjalankan kajian yang berkaitan untuk program pembasmian kemiskinan, seperti berikut...".

“Perenggan Q mestilah berkaitan dengan perenggan yang saya baca tadi (perkara 3), kerana dia di bawah (perkara) 3...(Perenggan) A sehingga V adalah antara aktiviti yang dibenarkan, tetapi ia tertakluk kepada perenggan 3 di atas,” katanya menjawab Ahmad Zaidi.

Disoal lebih lanjut tentang pelaburan oleh Ahmad Zaidi, Mat Noor menegaskan bahawa urusan Exim Bank dengan Ahmad Zahid dan Nurulhidayah tidak pernah berkisar tentang pelaburan, tetapi “pendahuluan”.

“Seluruh idea (urusan ini), adalah pendahuluan, bukan pelaburan”.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu kemudiannya diletakkan dalam akaun deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Bagi pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima RM17 juta antara 2016 hingga 2018, sebagai imbuhan buat dirinya untuk menganugerahkan tiga kontrak kepada beberapa syarikat. Beliau ketika itu Menteri Pertahanan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Pada atau sekitar waktu sama, Ahmad Zahid dituduh menerima rasuah RM4.25 juta daripada “seseorang” sebagai imbuhan terhadap projek MyEG bawah bidang kuasa kementeriannya ketika itu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-26 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung 27 Julai depan. 

Lihat Komen
ADS