Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Audit: RM258.29j untuk program latihan B40 diguna dengan teruk
Diterbitkan:  Jul 14, 2020 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM258.29 juta yang diagihkan kepada pelbagai agensi antara 2016 hingga 2018 untuk menganjurkan latihan kemahiran kepada golongan B40 tidak memberikan hasil yang baik, memandangkan hanya satu pertiga golongan sasaran yang mendapat manfaat daripadanya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 (siri 3) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, hanya 38.5 peratus daripada sasaran 100,000 perserta mendapat manfaat daripada program itu, yang dinamakan "Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus".

Antara masalah yang berlaku ialah pengurusan peruntukan yang teruk, pelantikan entiti yang tidak sesuai bagi menjalankan program latihan dan kegagalan untuk memastikan program tersebut memang dibuat atau tidak.

Program tersebut bertujuan untuk membantu peserta mendapat pekerjaan dan meningkatkan pendapatan isi rumah antara RM1,200 hingga RM1,500 atau lebih.

Antara entiti yang mendapat dana daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi melaksanakannya ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baru (Naam), Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), unit perancang ekonomi untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Bagi program latihan perancah (scaffolding), Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Sabah telah memberi kontrak pelaksanaan kepada sebuah syarikat dengan nombor pendaftaran 0872690V antara 4 Disember 2017 dan 31 Januari 2018. Laporan audit mendapati syarikat itu membuat tuntutan sebanyak 836.6 peratus daripada kos sebenar.

"Semakan audit mendapati 0872690V telah membuat tuntutan kepada Upen Sabah berjumlah RM397,500 bagi pelaksanaan program scaffolding tahap 1.

"Bagaimanapun hasil temu bual dan semakan mendapati 0872690V melantik pihak ketiga iaitu Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sabah untuk melaksanakannya. Semakan seterusnya terhadap invois yang dikemukakan ABM kepada 0872690V mendapati caj yang dikenakan ABM kepada penyedia perkhidmatan bagi menjalankan program itu hanya berjumlah RM47,515," menurut laporan itu.

Bagi program latihan I Am Usahawan (IAMU) yang dikendalikan DPMM, laporan audit mendapati program itu tidak sesuai dengan matlamat peruntukan.

Tambahan lagi, laporan audit mendapati program itu dijalankan kepada anggota DPMM sendiri.

Pada 30 November 2018, DPMM telah menggunakan peruntukan sebanyak RM4.79 yang diberikan menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Peruntukan dipindah selepas notis pembekuan

Menurut laporan itu lagi, DPMM telah memindahkan RM3.5 juta ke akaun utamanya pada Julai 2018 yang dikatakan untuk tuntutan bagi sebuah program yang belum dimuktamadkan perjanjiannya.

"Perbelanjaan tersebut tidak disertakan dengan sebarang dokumen sokongan untuk pengesahan audit.

"Sehubungan itu, Teraju telah melantik firma audit swasta untuk mengaudit program IAMU dan DPMM dilarang melaksanakan sebarang transaksi sehinga ia selesai.

"(Bagaimanapun) Semakan audit mendapati DPMM telah memindahkan dana IAMU berjumlah RM250,000 ke akaun induk DPMM pada 26 November 2018, iaitu 19 hari selepas notis pembekuan oleh Teraju," kata laporan itu.

Dalam kes Yayasan Naam pula, laporan menyimpulkan badan itu tiada pengalaman mahupun kemampuan untuk melaksanakan program latihan.

Menurutnya, salah satu firma yang diberi kontrak oleh yayasan itu untuk mengendalikan program latihan hanya didaftarkan tiga hari sebelum menandatangani perjanjian bernilai RM730,000.

Ia juga menyimpulkan program latihan penternakan lembu yang dikontrakkan oleh Yayasan Naam, bernilai RM4 juta, juga tidak sesuai dengan peserta B40 kerana projek seumpama itu memerlukan modal yang tinggi.

Selain itu, program yang berjalan selama 12 minggu itu sepatutnya untuk 1,013 peserta tetapi kunjungan ke tempat latihan mendapati ia hanya boleh menempatkan 200 orang.

"Audit tidak dapat mengesahkan laporan (latihan) yang dikemukakan kerana borang pendaftaran peserta, laporan kehadiran, rekod pembayaran elaun dan senarai tenaga pengajar tidak dikemukakan kepada pihak audit."

Menurut laporan itu lagi, pihaknya juga tidak dapat mengesahkan sama ada RM1.33 juta yang disediakan sebagai elaun bagi tiga program latihan yang dikontrakkan Yayasan Naam telah diberi kepada peserta.

Kementerian Belia dan Sukan bertindak sebagai penyelaras dalam penyaluran dana daripada EPU kepada Yayasan Naam.

Lihat Komen
ADS