Malaysiakini
BERITA

Di kala Rukun Negara diabaikan

Shahir Adnan

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jul 2020, 12:19 tengahari

Bulan Julai tahun ini merupakan detik bermakna kepada negara kita kerana usia Rukun Negara memasuki separuh abad atau 50 tahun. Ia dilancarkan selepas negara mengalami detik pahit pada 13 Mei 1969.

Menyingkap sejarah negara kita, rusuhan kaum yang berlaku pada waktu itu telah mendorong kerajaan, iaitu Perikatan untuk menyatukan semula rakyat berbilang kaum di negara ini. Ironinya, hari ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang runtuh.

Di kala Rukun Negara umpama diabaikan, kini PN bertanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan Rukun Negara dan memperkasakan kepentingan Rukun Negara itu sendiri.

Amanat Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj wajar dijadikan sebagai kiblat perpaduan negara yang berbunyi:

“Jika kita benar-benar mahu hidup sebagai satu keluarga dalam satu rumah, bernama Malaysia, maka kita mesti ikhlas antara satu dengan lain -- Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dusun, Siam -- Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain. 

"Jika kita ikhlas maka kita tidak boleh kata apa-apa yang akan menyakit hati antara satu sama lain. Kita juga tidak boleh buat apa-apa yang menyusah hati orang lain. 

"Sebagai ahli keluarga yang ikhlas kita mesti selalu tolong menolong sesama kita. Yang kaya tolong yang miskin. Yang maju tolong yang kurang maju. 

"Dengan cara itu barulah kita akan jadi satu bangsa dan negara yang bersatu padu dan kuat. Semua orang akan bahagia. Barulah malaysia dihormati oleh dunia.”

Merungkai prinsip Rukun Negara

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mengajak rakyat untuk kembali kepada tahun 1969 ketika Peristiwa 13 Mei 1969 yang telah melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Ketika itu, perpaduan antara kaum berada pada tahap paling teruk apabila pertelagahan antara kaum menyebabkan kematian, kecederaan dan kacau-bilau.

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah dibentuk pada 31 Ogos 1970.

Kerosakan harta-benda susulan peristiwa 13 Mei

Tujuan utama Rukun Negara dibentuk adalah untuk membentuk perpaduan yang kukuh, menjadikan Rukun Negara itu sendiri sebagai nadi perpaduan negara.

Sehubungan itu, prinsip-prinsip di dalam Rukun Negara jelas merupakan nadi kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi memastikan kesejahteraan dan keamanan di Malaysia.

Terdapat lima prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara, yang seharusnya difahami dan dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia:

  • Kepercayaan kepada tuhan

  • Kesetiaan kepada raja dan negara

  • Keluhuran perlembagaan

  • Kedaulatan undang-undang

  • Kesopanan dan kesusilaan

Kepercayaan kepada tuhan bermaksud asas kehidupan beragama menjadi prinsip penting kepada kehidupan rakyat di negara kita.

Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada tuhan (kumpulan fahaman ateis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam ialah agama persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam persekutuan.

Menyedari kepentingan keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

Agama menjadi unsur penting dalam membentuk rohani masyarakat kita.

Prinsip “Kepercayaan kepada tuhan” seharusnya menyatukan hubungan antara pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu kerana ajaran agama masing-masing menekankan kepentingan hubungan antara manusia.

Kesetiaan kepada raja dan negara bermaksud prinsip rakyat di negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bermaksud bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara.

Perkara 44 menyebut bahawa YDPA (bawah) adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk parlimen di negara ini.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Seri Paduka Baginda, raja-raja dan yang di-pertua negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.

kesetiaan kepada raja dan negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Prinsip kedua ini mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang sayangkan negara, patriotik dan bersatu padu kerana raja adalah simbol payung negara.

Rakyat yang sivil tidak akan memperlekeh institusi raja dan tidak seharusnya mempolitikkan perkara ini.

Keluhuran perlembagaan bermaksud setiap warganeraga Malaysia perlu menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Persekutuan iaitu sumber perundangan yang tertinggi.

Perlembagaan negara kita telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini.

Pada waktu itu, seluruh wakil-wakil kaum di Malaysia bersatu hati membentuk Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

Persetujuan antara moyang kita ini menjadi satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak.

Perlembagaan Persekutuan menjadi sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

Kedaulatan undang-undang bermaksud keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara.

Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara kita adalah berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang akan menjamin keselamatan hidup rakyat di negara kita dan kesejahteraan kehidupan tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat.

Rakyat mempunyai hak seperti termaktub di dalam undang-undang negara dan diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Kesejahteraan hidup boleh dicapai jika semua pihak patuh kepada undang-undang negara kita.

Kesopanan dan Kesusilaan bermaksud menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.

Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Tatasusila ini membenci tingkah laku yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan.

Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.

Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Apabila Rukun Negara diabaikan

Pengabaian terhadap Rukun Negara telah menunjukkan implikasi yang negatif khasnya dalam kehidupan masyarakat.

Meskipun diajar dan dihafal di sekolah, kepentingan Rukun Negara semakin tidak diutamakan.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan, mungkin sudah ada terlepas pandang dan terlupa kepentingan Rukun Negara.

Justeru, tidak menghairankan sehingga ada yang terlupa akan kewujudan Rukun Negara dan falsafahnya.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyoroti kembali krisis yang berlaku di dalam negara kita sejak PRU-14 yang lalu sekitar tahun 2018.

Ketidakharmonian dan ketegangan antara kaum berlaku di dalam masyarakat, dari isu setempat hinggalah isu nasional.

Krisis ini berlaku akibat pengabaian Rukun Negara dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Apabila prinsip kepercayaan kepada tuhan diabaikan, maka pelbagai fahaman liberal mula menusuk masuk ke dalam minda masyarakat.

Sebagai sebuah negara yang agama rasminya adalah agama Islam, negara kita seharusnya menolak konsep liberal seperti atheis, gerakan LGBTQ, dan perbuatan merendah-rendahkan agama lain.

Bendera LGBT, gambar hiasan

Peranan yang dimainkan oleh menteri agama ketika itu dilihat tidak berkesan dan efektif dalam memperkasakan institusi agama di negara kita.

Gerakan LGBTQ menular dengan cepat atas nama kebebasan bersuara.

Mereka harus ingat bahawa “kebebasan bersuara” perlu dibataskan dengan nilai agama.

Apabila prinsip kesetiaan kepada raja dan negara diabaikan, maka fahaman antiinstitusi raja mula berlegar-legar di dalam masyarakat.

Akibatnya, terdapat pelbagai coretan-coretan menggunakan bahasa kesat ditujukan kepada institusi raja di dalam media maya.

Tahniah diucapkan kepada pihak SKMM dan polis yang mengambil tindakan pantas dan tegas dalam menangani isu ini.

Prinsip kesetiaan kepada negara juga diabaikan apabila terdapat pelbagai kes yang menghina institusi negara kita seperti isu bendera Jalur Gemilang yang salah spesifikasi, isu lagu Negaraku, isu Jata Negara, dan isu Bahasa Melayu itu sendiri, yang menjadi Bahasa Kebangsaan.

Golongan biadab seperti ini seolah-olah sengaja membakar api perkauman dengan menghina lambang dan simbol raja dan negara.

Apabila prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang diabaikan, maka semua yang terkandung dalam perlembagaan termasuk soal hak-hak Istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan, telah menjadi perkara pertikaian hingga meranapkan kontrak sosial berasaskan kompromi antara kaum yang selama ini menjadi tunjang perpaduan antara kaum di negara kita.

Perbuatan provokatif seperti memberikan kenyataan media di dalam bahasa lain dari bahasa kebangsaan mengundang kemarahan rakyat.

Isu pendidikan juga seperti pengiktirafan silibus luar dari Taiwan dan China dianggap sebagai tindakan khianat kepada perlembagaan negara kita.

Akhir sekali, apabila prinsip kesopanan dan kesusilaan diabaikan, maka lahirnya manusia tidak sopan dalam kalangan warganegara. Perpaduan dan rasa hormat-menghormati menjadi tembok besar antara masyarakat.

Seawal tahun 2018 menyaksikan isu rusuhan di kuil hingga menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa.

Dek kerana tiada nilai kesopanan dan kesusilaan, maka mereka bertindak mengikut nafsu marah tanpa pertimbangan rasional hingga meragut nyawa insan tidak berdosa.

Ingatlah bahawa Rukun Negara menjadi tonggak perpaduan kaum dengan tujuan, setiap rakyat negara ini menyedari, menerima dan memahami hakikat bahawa kepelbagaian kaum, agama serta budaya di negara ini adalah satu rahmat yang perlu dimanfaat bersama. sebagai Satu keluarga dalam satu rumah, bernama Malaysia, maka kita mesti ikhlas antara satu dengan lain. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.


SHAHIR ADNAN ialah ketua Pemuda DPIM merangkap naib pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.