Malaysiakini
BERITA

Audit: 89 kali kapal China ceroboh perairan Malaysia

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jul 2020, 12:52 tengahari

Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2018 Siri 3 mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Plan) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Ketua audit negara juga mengambil maklum kerajaan China tidak menghiraukan nota bantahan berhubung pencerobohan itu.

"Sebanyak lima nota bantahan diplomatik telah dikeluarkan bagi pencerobohan perairan Malaysia di kawasan Laut China Selatan kepada negara China susulan 29 laporan yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang tahun 2018 hingga 2019,” kata laporan itu.

Laporan itu berpendapat isu pencerobohan China merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Kehadiran CCG dan Plan, kata laporan itu untuk menunjukkan tuntutan China terhadap Laut China Selatan, khususnya di kawasan Beting Patinggi Ali.

"Sungguhpun TLDM dapat menunjukkan keberadaannya bagi melindungi kedaulatan di perairan BPA tetapi peranannya bukan sebagai agensi yang melaksanakan penguatkuasaan.

Menurut laporan itu lagi, 72 pencerobohan dilakukan CCG manakala 17 lagi oleh Plan.

Malaysia kekal mempertahankan kehadirannya di Beting Patinggi Ali yang tidak berpenghuni, atau dikenali sebagai Luconia Shoals, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri, Sarawak dan sekitar 1,600km dari tanah besar China.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.