Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ulama PAS menyuarakan kesyukurannya susulan kejayaan Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat lebihan aset bernilai RM1.9 bilion, seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen.

Ahli Jawatankuasa Ulama PAS Pusat Ahmad Dusuki Abd Rani turut berharap agar institusi itu semakin maju di masa akan datang.

“Alhamdulillah di atas nikmat yang Allah berikan pada kita.

“Semoga TH lebih berdaya saing untuk masa akan datang selain (dapat digunakan) kerajaan untuk meningkatkan ekonomi ketika negara kita dihimpit wabak Covid-19,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam jawapan Parlimen kepada Anggota Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof semalam, Muhyiddin berkata setakat setengah tahun pertama 2020, TH memiliki aset berjumlah RM78 bilion dengan dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion.

Dalam soalannya, Mujahid yang menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap TH turut bertanya sama ada benar pentadbiran PH telah membiarkannya dikuasai orang bukan Islam.

Untuk itu, Muhyiddin menjawab pemindahan aset-aset yang kurang berdaya saing milik TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) adalah selaras dengan pelan pemulihan dan penstrukturan semulanya.

"Oleh yang demikian, TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam," katanya lagi,

Tabung Haji sebelum ini pernah dikecam teruk serta didakwa dikuasai orang bukan Islam semasa pentadbiran PH.

Ia susulan pemindahan aset sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan dan penstrukturannya, selepas TH dilaporkan memiliki aset lebih rendah berbanding liabiliti sebanyak RM4.1 bilion.

Antara aset yang diambil alih Urusharta Jemaah ialah empat hotel iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Dusuki sendiri antara yang mengecam tindakan itu yang menganggap pemindahan milik itu sebagai 'pengkhianatan besar' dan jahat terhadap umat Islam di negara ini yang akan dikenang sehingga ke liang lahad.

Lihat Komen
ADS