Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ke sekolah lepas PKP: 'Mujur tak terlepas kereta api'

"Mujur tak terlepas kereta api... saya terbangun lambat sikit sebab lama bercuti," kata Safuan Azeeman Mohd Saufi, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, Kuala Krai.

Dia bercerita mengenai pengalaman hari pertama persekolahannya selepas bercuti panjang susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak lebih tiga bulan lalu.

Walaupun lama tidak melakukan rutin yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada hidupnya gara-gara Covid-19, pelajar tingkatan satu itu tetap bersemangat untuk kembali sekolah.

Tidak diabaikan, langkah pencegahan seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

"Selalunya saya bangun seawal jam 5 pagi untuk bersiap ke sekolah dan menaiki kereta api dari perhentian Kuala Gris ke Stesen Dabong.

"Rasa teruja juga sebab dah lama tak jumpa kawan-kawan dan guru," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Dabong, Kuala Krai, hari ini.

Safuan Azeeman (kiri)

Tinjauan Malaysiakini mendapati rata-rata pelajar dari kawasan pedalaman Kelantan itu menggunakan perkhidmatan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan menaiki perkhidmatan kereta api antara bandar bagi perjalanan ke sekolah mereka yang terletak antara 15 hingga 20 kilometer dari petempatan masing-masing.

Kebanyakan mereka yang tinggal di beberapa kampung seperti Kampung Bukit Pacak, Ulu Temiang; Kampung Bukit Abu dan Kuala Geris terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta api antara bandar sebagai pengangkutan utama.

Setiap hari, sekitar 200 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Dabong dan SMK Dabong akan menggunakan perkhidmatan itu menggunakan pas bulanan dengan bayaran hanya RM8 sebulan atau RM1 sehala.

Tambang sangat berpatutan

Sementara itu Siti Alisya Sofea Admi, 14, berkata walaupun dalam tempoh PKP dia masih belajar seperti biasa menerusi pembelajaran atas talian, namun agak sukar untuknya memberi tumpuan, selain tidak dapat belajar secara berkumpulan.

"Ada perkara yang kita tak faham dan rasa tidak puas kerana tak boleh berbincang berdepan. Alhamdulillah akhirnya hari ini kami dapat kembali ke sekolah.

"Hari ini saya rasa gembira sebab boleh belajar dengan kawan-kawan di dalam kelas walaupun ada SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi," katanya.

Bagi pelajar tingkatan satu, Muhammad Azam Mohd Rosniza, dia dan rakan-rakan sekampung menunggu kereta api tiba di perhentian Kuala Gris sekitar jam 6 pagi setiap hari persekolahan.

Muhammad Azam (kiri)

Katanya, perasaan hari pertama sesi persekolahan sangat berbeza memandangkan sekian lama bercuti dan dia begitu teruja untuk ke sekolah bertemu rakan dan guru.

"Seawal jam 5 pagi, saya sudah bangun kerana perlu bersiap dan jam 6 pagi, saya sudah tiba di stesen kereta api untuk ke sekolah.

"Kami yang bersekolah di SMK Dabong memang kebanyakannya menggunakan kereta api sebab jarak dari rumah ke sekolah yang jauh dan tambang sangat berpatutan iaitu RM8 sebulan," ujarnya.

Lihat Komen
ADS