Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siswi UM lapor polis gangguan seksual melibatkan prof madya

Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan gangguan seksual terhadapnya oleh seorang profesor madya.

Mahasiswi yang hanya mahu dikenali sebagai "Ching", menggesa polis menyiasat kes tersebut, dengan mengatakan pihak universiti gagal bertindak dengan berkesan dan enggan mendedahkan hasil siasatan dalaman mereka.

"Saya benar-benar kecewa dan putus asa dengan kecuaian dan ketidakcekapan yang ditunjukkan oleh Unit Integriti Universiti Malaya."

"Kurangnya perhatian dan ketelusan tidak hanya mengganggu usaha mencari keadilan tetapi juga mempengaruhi kesihatan mental saya," kata Ching kepada media setelah membuat laporan di balai polis Pantai di ibu kota hari ini.

Dia ditemani wakil dari Kesatuan Mahasiswa UM, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany).

Menurut Ching, kejadian itu berlaku pada 3 Jun 2019 di pejabat profesor Madya itu di UM.

"Dia memeluk saya dan mengajukan soalan yang mengganggu privasi saya," katanya sambil menambah ada kejadian lain yang melibatkan sentuhan fizikal.

Menurutnya, dia telah mengirim e-mel pada 1 Julai 2019 untuk membuat aduan rasmi kepada Unit Integriti UM yang terletak di bawah pejabat naib canselor.

Bagaimanapun, tiada respons diterima sehingga dia secara peribadi pergi ke pejabat itu untuk bertanya lebih lanjut pada 11 Julai tahun lalu.

Ching berkata baru-baru ini, dia diberitahu oleh Unit Integriti bahawa individu itu telah dihukum, tetapi mereka enggan mendedahkan jenis hukuman atau apa tindakan yang diambil dengan mendakwa bahawa maklumat itu adalah rahsia.

"Saya merasakan penjelasan ini gagal menggambarkan keadilan telah dilaksanakan. Saya percaya kes ini harus ditangani dengan lebih serius kerana ada mangsa yang juga mengalami pengalaman serupa di masa lalu."

Justeru, beliau meminta pihak polis menyiasat secara terpeinci dan mendesak pihak universiti memberikan jawapan yang jelas mengenai kes tersebut.

“Saya harap UM dapat memberikan jawapan segera mengenai kes gangguan seksual ini. Lebih-lebih lagi, hukuman harus setimpal dengan keseriusan kesalahan tersebut.

"Ini penting bukan hanya bagi saya tetapi juga mangsa lain," kata Ching.

Presiden Umany, Yap Wen Qing sementara itu mengkritik kurangnya ketelusan ketika menangani kes gangguan seksual melibatkan pensyarah atau profesor.

"Kami sangat yakin bahawa keputusan dan sabitan yang dibuat oleh Unit Integriti UM tidak memberikan keadilan kepada mangsa," katanya.

Presiden Kesatuan Mahasiswa UM, Muhammad Haziq Azfar Ishak pula memberitahu wartawan bahawa dia meragui sama ada pelaku benar-benar dihukum.

Menyatakan sokongan penuh persatuan itu atas tindakan pelajar berkenaan, Muhammad Haziq menambah Ching hanyalah salah seorang daripada beberapa mangsa di kampus yang telah mengalami gangguan seksual

Malaysiakini telah menghubungi Unit Integriti UM dan profesor madya berkenaan bagi mendapatkan maklum balas mereka.

Lihat Komen
ADS