Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri 'air suam', 'Doraemon' cetuskan ketegangan Dewan
Diterbitkan:  Jul 16, 2020 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

PARLIMEN l Tindakan bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) melabelkan menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai "Doraemon" menimbulkan ketegangan di Dewan Rakyat.

Kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang ahli Parlimen di pihak kerajaan yang menyifatkan ia satu tuduhan jahat bertentangan dengan kemuliaan Dewan Rakyat.

Kenyataan Hanipa itu mengakibatkan pertikaman lidah tercetus antara Ahli Parlimen Sepang dengan ahli Parlimen BN.

Hanipa melontarkan dakwaan itu dengan berkata bahawa kejayaan negara mengawal Covid-19 adalah disebabkan keupayaan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Kita harus jujur bukan kerjaan tapi ketua pengarah dan pegawai, kalau tengok perangai menteri-menteri dalam waktu Covid-19, minta maaf la.

"Kalau ada menteri KKM air suam siapa nak hormat, (menteri) Doraemon siapa nak hormat?" kata Hanipa ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong, di Parlimen, hari ini.

Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) mencelah dengan menggunakan peraturan mesyuarat meminta speaker Azhar Azizan Harun supaya meminta Hanipa menarik balik kenyataannya itu.

Speaker kemudiannya mengarahkan supaya Hanipa menarik balik kenyataannya itu.

"Saya bukan tuduh, saya kata (Doraemon) apa yang disebut dalam media (sosial).

"Saya boleh tarik balik, tapi orang dah sebut dalam media sosial," katanya ketika menarik balik tuduhannya.

Terdahulu pertelingkah berlaku antara Hanipa dengan ahli Parlimen kerajaan apabila beliau menggelar kerajaan PN sebagai kerajaan "tebuk atap".

Pendirian Hanipa disanggah Salim Sharif (BN-Jempol) yang mendakwa kerajaan PN terbentuk selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan.

"Jelebu tak ada standard (untuk mencelah) minta maaf.Saya benar (ahli Parlimen) Kinabatangan.

"Saya bukan takut dengan debat...saya minta kita berdebat dalam RTM," katanya.

Lihat Komen
ADS