Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Top Glove masuk senarai larangan AS, mungkin ekoran isu pekerja asing
Diterbitkan:  Jul 16, 2020 5:16 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) telah menguatkuasakan arahan sekatan terhadap dua subsidiari pembuat sarung tangan terbesar di dunia, Top Glove Corp Berhad dalam usaha untuk menghentikan import barangan daripada dua syarikat tersebut yang disyaki mengamalkan buruh paksa.

Menurut Reuters, laman web CBP menunjukkan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dimasukkan ke dalam senarainya pada Rabu tetapi tidak menjelaskan perkara itu.

Dalam satu kenyataan kemudian, Top Glove mengesahkan arahan itu dan berkata ia menyasarkan untuk menyelesaikannya dalam masa dua minggu, dengan menghubungi CBP, pelanggan dan perundingnya.

"Ada kemungkinan ia berkaitan dengan isu tenaga kerja asing, yang telah kami selesaikan, kecuali satu lagi isu berkenaan pembayaran yuran pengambilan oleh pekerja kami dengan ejen sehingga 2019 tanpa pengetahuan kami.

Bagaimanapun, Top Glove telah pun menanggung semua yurang pengambilan sejak Januari 2019 apabila Dasar Sifar Yuran Pengambilan dilaksanakan.

"Sejak beberapa bulan lalu, kita telah menangani isu ini yang melibatkan pengesanan secara meluas, menentukan jumlah yang tepat untuk dibayar semula kepada pekerja kami bagi pihak ejen sebelumnya," katanya.

Top Glove berkata anggaran jumlah yang tidak dibayar adalah kira-kira RM20 juta hingga RM50 juta.

Sebelum ini pertubuhan etika perdagangan global, Amfori berkata Top Glove tidak boleh menggunakan rating baik yang dicapai di salah satu kilangnya sebagai bukti ia telah mencapai standard antarabansa dalam soal amalan tenaga kerja.

Pada masa itu, Amfori menjawab pertanyaan oleh Pusat Hak Asasi Manusia dan Perniagaan (BHRC) susulan pendedahan Channel 4 United Kingdom berhubung dakwaan eksploitasi tenaga kerja di kilang-kilang Top Glove.

Sejak Mei, Malaysiakini juga mendedahkan dakwaan usaha Top Glove untuk mengelak undang-undang buruh, termasuk dengakn skim yang dilancarkan untuk memenuhi permintaan terhadap sarung tangan getah ekoran penularan Covid-19.

Pada Oktober 2019, CPB Amerika Syarikat melarang import sarung tangan getah yang dikeluarkan satu lagi syarikat Malaysia, iaitu WRP Asia, juga ekoran isu sekitar pengurusan pekerja asingnya.

Larangan itu ditarik balik pada Mac susulan kekurangan bekalan akibat Covid-19, dan dilaporkan pekerja syarikat itu telah mula menerima bayaran balik yurang pengambilan mereka, awal bulan ini.

Lihat Komen
ADS