Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak muda dan teladan dari kisah Singapura dilanggar todak

Carik baju raja,

Dilompati todak;

Bukan disahaja,

Sebab akal budak.

Rangkap tersebut merupakan seloka rakyat yang dirakam dalam Sulalatus Salatin ataupun Perteturunan Segala Raja-Raja ataupun lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu. Ia dinukilkan begitu untuk kita semua.

Ia adalah kisah tentang Singapura dilanggar todak. Babak ini sebenarnya menginsafkan kita tentang tiga perkara:

Pertama, jangan sesekali pandang rendah anak muda.

Kedua, anak muda mampu dan sudah pernah dalam sejarah panjang bumi ini memyumbang kepada bangsa dan negara kita.

Ketiga, kita harus berwaspada kepada pembesar-pembesar yang khianat, memperlekeh, menghina malah menganiaya anak muda.

Dalam cerita Singapura dilanggar todak tadi, digambarkan seolah-olah kerana penganiayaan terhadap Hang Nadim, maka Singapura diserang oleh Majapahit dan rajanya terpaksa melarikan diri.

Sebenarnya di luar sana, ramai anak muda berasa kecewa apabila mereka melihat bagaimana pada Isnin lalu, semasa rakan saya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Muar bangkit berucap, beliau disindir oleh rakan-rakan yang lain di sini dengan pelbagai dan macam-macam sindiran dan penghinaan.

Saya berharap kita dapat mengambil teladan daripada cerita nenek-moyang kita untuk menunjukkan kepemimpinan yang lebih baik.

Usah gentarkan anak muda

Di sini saya ingin mengambil peluang untuk merakamkan pengiktirafan terhadap satu initiatif hebat daripada anak muda Malaysia, iaitu Parlimen Digital.

Sidang parlimen ini berlangsung dari 4 hingga 5 Julai melibatkan 222 anak muda Malaysia berumur antara 15 hingga 35 tahun.

Pada masa kita memberikan pelbagai alasan untuk tidak bersidang, anak muda Malaysia telah menunjukkan jalan, mempelopori sidang secara atas talian.

Saya berasa amat bangga. Kita sebenarnya sudah ada Parlimen Belia yang hebat. Dan kini kita ada Parlimen Digital.

Izinkan saya mengetengahkan empat perkara tentang Parlimen Digital:

1) Saya berharap kerajaan dapat menghentikan segala kacau ganggu terhadap Ahli Parlimen Digital. Saya difahamkan - dan perkara ini juga dilaporkan media - bahawa ada kalangan ahli parlimen itu yang didatangi dan dipanggil oleh pihak polis untuk disoal selidik.

Saya tidak menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebab ini memang menjadi tugas mereka. Tetapi, saya nak menyeru pihak kerajaan jangan salah guna kuasa untuk menggentar dan menakutkan anak muda.

Mereka pun tidak berasa gentar, sebab berani kerana benar.

2) Saya harap kerajaan dapat mewujudkan kerjasama yang lebih erat termasuk pengagihan sumber untuk Parlimen Belia dan Parlimen Digital. Kedua-dua mereka sebenarnya bukan pesaing tetapi anak muda yang beraspirasi untuk menyumbang ke arah pembinaan bangsa dan negara.

Justeru saya melihat tiada masalah untuk kerajaan merapatkan dan mengeratkan lagi kerjasama dan usaha kedua-dua badan tersebut.

3) Saya menyeru kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan, untuk mengambil cadangan-cadangan yang dibentang dan dibahas dalam Parlimen Digital untuk dipertimbangkan sebagai dasar kerajaan.

4) Akhir sekali, saya memohon supaya Dewan Rakyat dapat mengambil iktibar daripada Parlimen Digital. Kita harus bersiap sedia untuk menghadapi keadaan apabila sidang fizikal tidak dapat dijalankan.

Contohnya di negara jiran - Singapura - mereka telah meminda undang-undang untuk membenarkan Parlimen bersidang di lokasi-lokasi selain dalam dewan Parlimen.

Ada juga parlimen negara lain di dunia ini yang membenarkan sidang secara atas talian. Urusan parlimen ialah hal yang berkaitan rakyat, tidak patut terhenti jika ada cara lain untuk bersidang.

Kita tak mahu mengulangi episod sidang parlimen sekerat hari pada 18 Mei 2020 yang lalu.

Saya tak setuju apabila ada yang mendakwa parlimen ini birokrasi dan red tape. Tidak. Parlimen ialah tempat masalah rakyat mendapat perhatian dan nasib rakyat mendapat pembelaan.


STEVEN SIM merupakan ahli parlimen Bukit Mertajam mewakili Pakatan Harapan. Rencana ini adalah sedutan ucapan menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2020.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS