Malaysiakini
BERITA

Peguam: Editor telah beri alamat, nombor telefon pada polis

Faisal Asyraf

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Jul 2020, 9:00 pagi

Editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia telah memberikan maklumat, termasuk keberadaannya, kepada polis, menurut peguamnya Fahri Azzat.

Ia bertentangan dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed seperti dipetik Bernama semalam, bahawa Kean Wong telah keluar Malaysia dan tidak dapat dipastikan keberadaannya.

Menurut Fahri, Wong telah mengarahkannya untuk memberikan alamat, nombor telefon dan emelnya kepada polis, susulan siasatan pihak berkuasa terhadap buku tersebut.

"Pada 3 Julai, anak guam saya telah arahkan untuk berhubung dengan Inspektor Zakiman dari Bukit Aman untuk memaklumkan saya telah dilantik untuk mewakilinya. Pada hari sama, Inspektor Zakiman berhubung dengan saya untuk meminta alamat, nombor telefon dan emel anak guam saya.

"Pada 6 Julai, selepas diarahkan anak guam, saya maklumkan ketiga-tiga maklumat yang diminta kepada inspektor itu," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Kata Fahri lagi, polis masih belum menghubungi Wong selepas maklumat tersebut diberikan.

Laporan Bernama semalam menyatakan Wong dikesan telah melarikan diri ke luar negara.

Laporan itu memetik Huzir sebagai berkata, dia didapati telah ke luar negara sejak 21 Januari.

“Dia (editor) telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ telah menyenaraikannya sebagai Orang yang Dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan,” katanya seperti dipetik.

Bagaimanapun, Fahri berkata Wong sememangnya merupakan penduduk tetap Australia dan telah menetap di negara itu sejak sekitar 2003-2004.

"Dia telah balik ke Malaysia untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga dan pulang ke Australia pada 28 Januari 2020. Sejak itu, dia tidak pulang ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Buku tersebut, yang didakwa menghina jata negara, kini disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia mula menarik perhatian awam selepas tular di media sosial akhir bulan lalu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.