Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan kembali, ikrar amal laporan bertanggungjawab
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 12:22 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Utusan Malaysia, yang dihentikan penerbitannya pada tahun lalu, hari ini kembali beroperasi semula, bersama akhbar tabloid di bawah penerbitan yang sama, Kosmo!.

Kenyataan penyunting kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar menyebut, dengan slogan “Pemikiran Baharu”, Utusan akan berusaha mengembalikan keyakinan pembaca, menjadi penyebar maklumat yang boleh dipercayai dan mencetuskan percambahan idea.

"Kebertanggungjawaban menjadi panduan dalam setiap laporan. Kredibiliti menjadi tonggak operasi.”

Azlan menulis:

"Kepada banyak pihak, Utusan Malaysia adalah sebuah institusi yang dikaitkan dengan sejarah yang bermula lapan dekad lalu.

“Sejarahnya dikaitkan dengan dorongan untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah, keperluan kepada saluran untuk menyatakan rasa hati masyarakat serta keinginan pengasasnya untuk membuktikan kewibawaan kewartawanan Melayu.

"Ledakan digital, persepsi masyarakat, defisit kepercayaan, kegagalan memenuhi keperluan pembaca dan keseimbangan kepentingan komersial dan editorial membawa kepada pengakhiran akhbar ini lebih sembilan bulan lalu.

"[...] Masyarakat hari ini mengkehendaki laporan yang objektif, tepat, benar dan adil sama ada daripada aspek politik, sosial dan ekonomi. Iltizam kami untuk membangunkan akhbar nasional yang membawa aspirasi setiap rakyat Malaysia.

"Saya meminta pembaca untuk melihat setiap laporan sebagai hanya pelaporan berita dan bukan diteliti dari kaca mata sama ada ia didorong agenda tertentu, dikategorikan sebagai prokerajaan atau antipembangkang serta untuk mengagung atau memburukkan mana-mana pihak."

Semasa era pemerintahan BN, sebelum PRU14, Utusan didakwa sebagai "alat politik" pemerintah.

Utusan pertama kali diterbitkan dalam tulisan Jawi pada 1939 sebelum beralih ke tulisan Rumi pada 1967.

Akhbar itu mengalami kerugian sejak 2012.

Ia ditutup pada 31 Oktober tahun lalu, selepas pengerusi eksekutif Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan bahawa aliran tunai yang lemah, hutang meningkat dan jualan merudum.

Ekoran itu, seramai 862 kakitangan Utusan kehilangan pekerjaan berikutan krisis kewangan yang berpanjangan.

Bagaimanapun, pada bulan berikutnya, bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof mengumumkan Utusan akan memulakan operasinya pada awal tahun ini.

Aurora Mulia dikaitkan dengan hartawan, Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang mempunyai pegangan saham sebanyak 31.22 peratus Media Prima Bhd, kini merupakan konglomerat media terbesar di Malaysia.

Media Prima juga merupakan syarikat induk New Straits Times Press (NSTP) yang menerbitkan tiga akhbar iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Lihat Komen
ADS