Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyedia televisyen satelit, Astro didenda oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mengulang siar sebuah dokumentari pada tahun 2015, yang dihasilkan oleh penyiar antarabangsa, Al Jazeera mengenai pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sebelum ini, Al Jazeera juga disiasat polis berhubung dokumentari terbitannya yang disiar pada 3 Julai, berjudul "Locked Up in Malaysia's Lockdown".

Seperti filem mengenai kematian Altantuya "Murder In Malaysia", dokumentari tersebut baru-baru ini ditayangkan sebagai sebahagian daripada program '101 East'.

Kompaun dari SKMM yang dilihat oleh Malaysiakini dikeluarkan kepada Measat Broadcast Network Systems Bhd, yang mengendalikan Astro.

Notis tersebut dihantar kepada Measat pada 7 Julai, hampir lima tahun selepas filem itu ditayangkan pada 11 September 2015.

Mengesahkan perkara itu, SKMM berkata pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada penyedia televisyen satelit itu kerana menyiarkan kandungan yang jelik dan melanggar Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suruhanjaya itu berkata siasatan telah dimulakan berikutan aduan orang ramai.

Dalam suratnya kepada Measat, SKMM berkata syarikat itu didapati bersalah kerana menyiarkan episod tersebut, yang "jelik", dengan niat untuk menyinggung perasaan pihak yang berkaitan.

Oleh itu, syarikat itu didenda RM1,000 untuk setiap kali episod itu disiarkan, yang berjumlah RM4,000.

Syarikat tersebut mempunyai masa selama 30 hari untuk membuat rayuan terhadap kompaun tersebut.

Astro tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Wartawan dihantar pulang

Dokumentari "Murder In Malaysia" memperincikan pembunuhan Altantuya pada Oktober 2006 dan mengaitkannya dengan Najib Razak, yang merupakan perdana menteri ketika filem itu ditayangkan di Saluran 513 Astro.

Sebagai respons, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang menafikan bahawa Najib bertemu atau mempunyai hubungan dengan Altantuya. 

Pejabat itu juga menafikan bahawa dua lelaki yang disabitkan atas pembunuhan Altantuya adalah pengawal peribadi Najib.

 "Tuduhan ini sengaja diputarbelit, dan telah digunakan untuk mengekalkan teori konspirasi yang tidak berasas," kata PMO dalam pernyataan yang disiarkan di laman web Al Jazeera.

Wartawan 101 East, Mary Ann Jolley (di atas) dihantar pulang semasa penerbitan dokumentari tersebut.

Kementerian Dalam Negeri memberitahu Al Jazeera bahawa Jolley dihantar pulang kerana kegiatannya "berpotensi memberi kesan negatif terhadap imej Malaysia".

Pada tahun 2018, Najib, dalam wawancara dengan Jolley, mengatakan kepadanya bahawa dia dihantar pulang kerana dia "mengganggu" dan "membuat pembohongan".

Jolley memenangi "Interview of the Year" dalam Anugerah Kewartawanan Televisyen Royal Television Society di UK kerana temu ramah itu.

Visa kerja dibatalkan, Al Jazeera disiasat

Pada Selasa lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkata Al Jazeera tidak mempunyai lesen untuk membuat filem "Locked Up in Malaysia's Lockdown".

Polis sedang menyiasat Al Jazeera kerana didakwa melanggar Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981 (Pindaan 2013) kerana menjalankan aktiviti penerbitan filem tanpa lesen yang sah dari Finas.

Ia juga sedang disiasat kerana hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak betul, sementara wartawan 101 East menerima ancaman bunuh dari rakyat Malaysia yang marah dengan apa yang mereka anggap sebagai gambaran negatif terhadap negara ini, kata Al Jazeera.

Pada 12 Julai, seminggu setelah dokumenteri tersebut disiarkan, Jabatan Imigresen membatalkan visa kerja warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir, 25 yang dalam filem itu mendakwa berlaku penganiayaan terhadap warga asing oleh kerajaan Malaysia.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa mengatakan bahawa tindak balas kerajaan terhadap dokumentari itu telah mempertaruhkan kebebasan media dan keselamatan pendatang dan pelarian

Lihat Komen
ADS