Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan penghakiman terus, Najib perlu bayar cukai RM1.69b

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penghakiman terus dalam dalam saman tuntutan cukai berjumlah RM1.69 bilion ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.

Keputusan itu bermakna Najib perlu membayar cukai berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.

Pada 22 Jun lalu, hakim Ahmad Bache menangguhkan keputusan terhadap permohonan LHDN itu, selepas penghujahan peguam pihak LHDN dan Najib.

Kerajaan memfailkan saman itu terhadap Najib pada 25 Jun 2019.

Saman itu menuntut RM1.69 bilion daripada Najib, dengan kadar faedah tahunan lima peratus bermula tarikh notis taksiran, serta ganti rugi kos serta relif lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Ketika penghakiman, hakim berkata mahkamah bukanlah tempat yang sesuai untuk Najib mencabar taksiran cukainya memandangkan hanya pesuruhjaya khas cukai pendapatan (PKCP) memiliki kuasa terhadap rayuan taksiran semula cukai.

Katanya, Akta Cukai Pendapatan 1967 jelas memberi kuasa kepada PKCP untuk mendengar rayuan taksiran semula antaranya atas sebab kesilapan taksiran.

"(Maka) Mahkamah tidak akan melayan sebarang rayuan (cabaran undang-undang) seumpamanya," katanya.

Hakim berkata sebarang pertikaian fakta berkaitan taksiran semula cukai hanya patut didengar oleh PKCP dan mahkamah bukan tempat yang sesuai untuk memutuskan perkara itu.

Ahmad mengambil maklum bahawa sebarang isu taksiran semula boleh dilakukan dengan PKCP dan ia dijelaskan lagi dengan hakikat defendan memang sedang dalam rayuan taksiran semula dengan  pesuruhjaya.

Beliau merujuk hujahan pasukan pembelaan Najib ketika pendengaran sebelum ini, di mana mereka antara lain berkata taksiran semula cukai tidak tepat kerana sumbangan yang diterima Najib daripada Timur Tengah adalah derma dan tidak boleh dicukai.

Ahmad Bache mengambil maklum bahawa sistem pembayaran cukai di Malaysia adalah individu perlu membayar cukai yang ditaksir terlebih dahulu, dan kemudian baru membuat permohonan kepada PKCP jika ingin berbuat demikian.

"Ini adalah sistem cukai di Malaysia, dan selaku bekas menteri kewangan defendan perlu tahu bahawa apabila notis (taksiran) diserahkan, cukai perlu dibayar," katanya.

Hakim juga mengambil maklum bahawa tidak pernah dipertikaikan yang notis taksiran yang Najib telah menerima notis taksiran LHDN untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Dia berkata cukai yang ditaksir ke atas Najib, yang memasukkan penalti, perlu dibayar kepada kerajaan selaras dengan Akta Cukai Pendapatan, dan beliau setakat hari ini belum berbuat demikian.

"Penalti yang dikenakan adalah adil dan dibenarkan, jika seorang pembayar cukai (biasa) dikenakan (penalti) kerana lewat bayar cukai, maka adillah untuk defendan, yang merupakan bekas perdana menteri, dikenakan peruntukan yang sama seperti orang lain, dan berada dalam kedudukan yang sama dalam undang-undang."

Menurutnya, sistem cukai "bayar dulu, bincang kemudian" di Malaysia mungkin tampak kasar tetapi ia wajar demi membanteras pengelakan cukai di negara ini.

"Dengan sebab terperinci yang diberikan dan atas premis itu, mahkamah memutuskan bahawa satu penghakiman terus terhadap defendan untuk jumlah yang dituntut plaintif seperti dalam pernyataan tuntutan plaintif, iaitu RM1,692,872,924.83 dengan kos.

"Maka, arahan dalam terma diberikan kapada Lampiran (1) (iaitu permohonan penghakiman ringkas LHDN)," katanya.

Hakim kemudian mengarahkan Najib, yang tidak hadir, untuk membayar kos RM15,000 kepada plaintif.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib manakala Peguam Kanan Persekutuan LHDN Abu Tariq Jamaluddin mewakili kerajaan.

Najib: PH salah guna kuasa aniaya saya

Sementara itu, Najib dalam hantaran di Facebook kemudian mendakwa keputusan hakim itu adalah bukti salah guna kuasa pentadbiran PH sebelum ini untuk "menganiayanya".

Najib mendakwa pada tahun sama beliau dan ahli keluarganya dikenakan tindakan mahkamah berkenaan cukai, pemimpin DAP "bermaharajalela dan banyak menyalahgunakan kuasa" untuk mengenakannya dan pemimpin BN.

Katanya lagi, keputusan mahkamah hari ini bukan mengarahkannya untuk membayar cukai tetapi kebenaran untuk LHDN meneruskan tuntutan terhadapnya.

"Bagaimanapun, hakim kata rayuan saya perlu didengar di Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan - bukan dalam mahkamah.

"Hakim kata Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan adalah jalan seterusnya bagi saya untuk mansuhkan tuntutan tidak berasas kerajaan PH dahulu," katanya.

Beliau sekali lagi mendakwa kerajaan PH mengenakan tuntutan cukai itu berkaitan derma RM2.6 bilion yang telah pun dipulangkannya, serta RM632 juta yang diterima daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang tidak perlu dicukai.

"Kebenaran akan dibuktikan apabila kita menghadap panel rayuan pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan nanti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS