Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir sebut lagi kemungkinan tubuh parti baru
Diterbitkan:  Jul 23, 2020 10:58 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Jika mahkamah - yang membuat pertimbangan berhubung penyingkiran beberapa ahli parlimen Bersatu - membuat keputusan tidak seperti diharapkan Dr Mahathir Mohamad pada awal Ogos ini, sebuah lagi parti politik mungkin akan ditubuhkan.

"Jika kami digugurkan, kami harus mempertimbangkan kemungkinan untuk menubuhkan parti lain," kata Ahli Parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada ChannelNewsAsia semalam ahli politik berusia 95 tahun itu tidak membuat ketetapan sama ada akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang atau tidak.

"Itu hal yang belum saya putuskan, tetapi saya akan memainkan peranan sangat bersar dalam berkempen dan lain-lain.

"Jika saya berusia 98 tahun apabila diadakan PRU, sudah tentu akan ada kekangan fizikal, tetapi jika saya sihat, saya akan berikan sebanyak mungkin sokongan yang dapat," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 7 Ogos sebagai tarikh keputusan mengenai permohonan Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengetepikan saman dikemukakan Mahathir serta empat yang lain.

Sebelum ini Mahathir dan penyokong setia beliau memohon untuk mencabar keputusan Bersatu menyingkirkan mereka daripada parti berkenaan.

Tertumpu pada Anwar sebagai PM

Sebelum ini Mahathir pernah membangkitkan kemungkinan untuk menubuhkan parti baru untuk menjadi wadah kumpulannya bergerak dalam politik.

Pada 14 Julai Mahathir berkata, beliau dan penyokongnya mungkin bertanding di bawah parti baru jika berlaku PRU mengejut.

Beliau juga membayangkan untuk bergerak aktif hanya untuk berkempen berbanding yang apa dilakukannya sekarang.

Sementara itu dalam temu bual sama Mahathir juga berkata Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sokongan yang mencukupi daripada orang Melayu.

Hal itu kerana, katanya, parti komponen PH - iaitu PKR, Amanah dan DAP - kelihatan menumpukan usaha untuk mengangkat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

"Selepas mengadakan perbincangan panjang dan berulang dengan DAP, Amanah dan PKR, perjuangan mereka nampaknya berpusat kepada usaha menjadikan Anwar perdana menteri.

"Ketika ini ada ramai orang yang tidak menerima dia (Anwar).

"Saya terlibat bukan kerana saya mahu menjadi perdana menteri, saya sudah dua kali menjadi perdana menteri dan cukuplah, tetapi ramai orang... tidak memberi sokongan seperti itu kepada PH, terutama apabila mereka melihat bahawa parti Melayu mereka tidak kukuh," katanya.

Beliau kemudian berkata kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada PRU lalu diketuai beliau dan bukannya Anwar.

"Kamu bercakap mengenai memulihkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Kerajaan yang dipilih rakyat sebelum ini diketuai oleh saya, bukan Anwar.

"Jadi kalau kamu jadikan dia ketua, ia bukanlah kerajaan yang dipilih rakyat," katanya.

PM terdahulu enggan dengar nasihat

Ditanya jika Anwar perlu menyertai parti Melayu untuk membolehkan beliau menjadi perdana menteri, Mahathir berkata, ia bukan suatu kemestian, sebaliknya mesti mendapat sokongan orang Melayu.

Namun, katanya, apabila Anwar meninggalkan Umno ahli politik terbabit membuat keputusan untuk menubuhkan parti pelbagai kaum dan menolak parti berasaskan kaum sebagai rasis.

“Anwar tidak dianggap sebagai protagonis bagi orang Melayu kerana dialah yang memulakan parti yang berbilang kaum dan ramai pemimpin dalam parti itu bukan orang Melayu.

"Orang Melayu sangat curiga terhadap parti bukan Melayu atau berbilang kaum," kata Mahathir.

Mengenai tawaran sebagai menteri mentor daripada Anwar, Mahathir berkata beliau sudah ada pengalaman menjadi penasihat kepada beberapa perdana menteri.

Abdullah Ahmad Badawi

"Mereka tak mau dengar. Mereka mahu bertindak sendiri, mereka mahu meninggalkan legasi sendiri

"Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Abdul Razak tak pernah dengar nasihat saya. Malah semasa dalam kerajaan sebelum ini, Anwar langsung tak mahu mendengar nasihat saya," katanya.

Mengenai hubungannya dengan Azmin Ali, Mahathir berkata, perspektif politik bekas timbalan presiden PKR itu terlalu sempit dan hanya menumpukan perjuangannya melawan Anwar.

"Fokus utamanya banyak menentang Anwar, perjuangan politiknya hanya berkisar berbalah dengan Anwar. Itu perspektif yang terlalu sempit untuk seorang ahli politik.

"Kamu patut berfikir untuk membangunkan negara. Kamu tak boleh - hanya kerana kamu tak suka seseorang - kamu jadikan ia asas kepada semua tindakan kamu," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia atau tidak bekerjasama dengan Azmin, Mahathir hanya menjawab: "Kita akan lihat bagaimana dia bekerja."

Lihat Komen
ADS