Malaysiakini
BERITA

Mahathir, 4 MP cabar pelantikan speaker Dewan Rakyat

Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Jul 2020, 9:31 pagi

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama empat ahli parlimen hari ini mengemukakan permohonan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Azhar Harun dan Azalina Othman di Dewan Rakyat.

Kesemua plaintif ialah ahli parlimen yang disingkirkan daripada Bersatu. Selain Mahathir, turut menyertai permohonan tersebut ialah ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Kelima-lima plaintif memfailkan saman pemula di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang hari ini dan dilakukan melalui firma guaman Law Practice of Rafique.

Menurut kenyataan media hari ini Azhar - yang diundi menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu - menjadi defendan pertama, manakala Azalina sebagai defendan kedua.

Seorang lagi timbalan Azhar, Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin masing-masing diletakkan sebagai defendan ketiga dan keempat.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa pelantikan Azhar dan Azalina sebagai tidak sahih, melanggar Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan Tetap Dewan Rakyat.

Plantif juga meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar ahli parlimen diberi peluang mencalonkan nama lain untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut, yang sebelum itu dipegang oleh Mohamad Ariff Md Yusof.

Kelima-lima plaintif juga menuntut pengisytiharan bahawa jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat masih kosong sejak 13 Julai.

Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Speaker Rashid Hasnon menjelaskan bahawa beliau mengambil maklum berkenaan permohonan yang dikemukakan oleh beberapa ahli parlimen tersebut.

Jelasnya, beliau tidak menerima notis tersebut dan terserah kepada proses undang-undang.

“Mengikut hemat saya, Tun (Mahathir) bersama empat rakan yang lain boleh berbuat apa yang diinginkan dalam amalan demokrasi asalkan mengikut undang-undang yang termaktub.

“Saya tidak menerima notis tersebut dan terserah kepada proses undang-undang untuktindakan selanjutnya,” katanya.

[Berita lanjut menyusul]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan