Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kerajaan tak berniat sekat kebebasan peribadi di media sosial’
Diterbitkan:  Jul 23, 2020 7:18 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berniat menggunakan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 untuk menyekat kebebasan peribadi individu di media sosial.

Ia susulan begitu banyak kritikan terhadapnya hari ini selepas mengumumkan lesen daripada Finas diperlukan dalam semua bentuk penggambaran, rakaman media sosial peribadi.

Katanya, ketika akta itu digubal kira-kira 40 tahun lepas, media sosial seperti Tik Tok dan YouTube masih belum wujud.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan.

“Ini telahpun saya nyatakan dalam sidang media kad laporan 100 hari saya sebagai menteri KKMM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika akta itu digubal," katanya lagi.

Ketika sidang Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin ditanya sama ada lesen FInas diperlukan untuk media sosial atau tradisional, dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada pengguna media sosial.

Akta tersebut menjadi perhatian selepas ia digunakan terhadap Al Jazeera yang didakwa membuat penggambaran untuk dokumentari bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" tanpa kebenaran Finas.

Untuk rekod, Al Jazeera mendakwa dokumentari itu yang merupakan sebahagian daripada program mingguan '101 East' tidak memerlukan lesen tersebut.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata ketika menjawab soalan di Parlimen, beliau hanya memberi penerangan berkaitan undang-undang sedia ada.

"Kementerian sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya.

"Kami terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan saja akta yang dibahaskan pagi tadi, malah semua undang-undang di bawah pengawasan kami agar bersesuaian dengan kehendak semasa," katanya lagi.



Lihat Komen
ADS