Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Isu agihan daging korban pada warga asing ada cara penyelesaian

Larangan buat warga asing daripada mengunjungi masjid dan surau ketika ini menimbulkan kebimbangan sesesetengah pihak bahawa golongan itu mungkin tercicir daripada agihan daging korban pada Hari Raya Aidiladha nanti.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad berkata masih ada ruang penyelesaian dalam agihan daging korban kepada golongan berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan cuba edarkan kepada khalayak semua, dan kita ada cara penyelesaiannya (agihan kepada warga asing).

“Bahkan bukan mereka saja (warga asing), kita sendiri berdasarkan norma baru ada perubahan sedikit (berkenaan) SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi ketika pelaksanaan ibadah korban.

“Insya-Allah kita akan uar-uarkan (berkenaan penyelesaian) sebelum hari raya ini,” katanya kepada Malaysiakini ketika menghadiri Majlis Penghargaan kepada Kolej Profesional Baitulmal di Kuala Lumpur hari ini.

Apabila disoal bilakah pengumuman yang beliau maksudkan akan dibuat, Zulkifli menjawab: “mungkin dalam sehari dua ini”.

Terdapat kebimbangan bahawa pada tahun ini, warga asing - termasuk pelarian - mungkin tercicir daripada menerima agihan daging korban, sedangkan sebelum ini mereka antara golongan yang teruja mengunjungi masjid untuk menerima agihan daging setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha.

Ini kerana mereka tidak dibenarkan mengunjungi masjid atau surau sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Selain kawasan persendirian, ibadah korban juga selalunya dilakukan di masjid atau surau sebelum diagihkan.

Ada kawasan yang membuat agihan daging korban di masjid atau surau tempat penyembelihan, dan ada kawasan yang mengambil inisiatif menghantar daging dari rumah ke rumah.

Jika di Pulau Pinang, warga asing sama sekali tidak dibenarkan untuk turut serta dalam upacara penyembelihan dan pemprosesan haiwan korban dalam tempoh PKP pemulihan (PKPP).

Menurut muftinya, Wan Salim Wan Mohd Noor (gambar), hal itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Pembangunan Masjid dan Surau di Pulau Pinang baru-baru ini.

Namun, Wan Salim menambah, inisiatif sendiri boleh diambil oleh pihak masjid dan surau bagi mengagihkan daging korban kepada warga asing di sekitar kawasan mereka.

“Mereka (warga asing) tidak dibenarkan menjadi petugas korban dan tidak boleh hadir di tempat penyebelihan.

“Namun jawatankuasa masjid atau surau boleh agihkan daging korban kepada orang-orang Islam bukan warganegara Malaysia dengan menghantar daging korban ke kediaman mereka,” katanya dalam pesanan teks kepada Malaysiakini semalam.

Bagi Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad (gambar) pula, isu berkenaan agihan daging kepada warga asing tidak begitu berbangkit di Kelantan kerana bilangan golongan itu terlalu sedikit di negeri berkenaan.

Jelasnya, budaya ibadah korban di Kelantan selalunya dibuat oleh individu di rumah masing-masing, manakala di masjid dibuat untuk ibadah korban secara berkumpulan atau yang dikerjakan oleh Majlis Agama Islam Kelantan.

Untuk yang dibuat di masjid, sistem kupon selalunya digunakan untuk agihan daging dan kumpulan yang akan menerima daging telah dikenal pasti awal-awal, terutamanya golongan yang memerlukan.

“Saya ingat itu itu tidak berbangkit langsung (di Kelantan),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini kelmarin.

Sebarang kegiatan keagamaan sebelum ini dilarang sama sekali ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, termasuklah kegiatan solat jemaah dan Jumaat di majid atau surau, sebelum dilonggarkan sedikit demi sedikit kemudiannya.

Solat berjemaah di masjid mula dilonggarkan secara berperingkat sejak 15 Mei lalu, dan bilangan jemaahnya mula diperluas mengikut kapasiti sesuatu masjid.

Namun, buat masa ini warga asing masih belum dibenarkan turut serta dalam aktiviti di masjid dan Zulkifli pada awal bulan lalu, memberi bayangan bahawa ia akan mengambil masa satu ke dua bulan lagi sebelum kelonggaran diberikan buat golongan berkenaan.

Berdasarkan SOP ibadah korban yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ibadah korban dibenarkan dibuat di semua masjid, surau atau kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan.

Antara lain, setiap kawasan yang dilakukan ibadat korban perlu mematuhi kapasiti kehadiran seramai 250 orang, manakala petugas yang mengendalikan korban hanyalah seramai 30 orang sahaja untuk seekor lembu.

Bagaimanapun, setiap negeri mempunyai SOP tersendiri bergantung pada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Contohnya di Melaka, orang ramai dilarang sama sekali mengambil daging di masjid atau rumah penyembelihan, sebaliknya ahli jawatankuasa masjid dan petugas penyembelihan dikehendaki menghantar daging ke rumah penerima.

Umat Islam di seluruh negara bakal menyambut Hari Raya Haji yang dijangka jatuh pada 31 Julai ini, iaitu pada hari Jumaat.

Lihat Komen
ADS