Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ucapan menjatuhkan maruah adalah pencabulan hak asasi nyata'
Diterbitkan:  Jul 24, 2020 8:53 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, anggota parlimen tidak sepatutnya menggunakan kekebalan masing-masing untuk mengeluarkan kata-kata perkauman, seksis dan kesat di tempat terhormat seperti Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Suhakam berkata kejadian baru-baru ini sangat memalukan dan tidak boleh diterima lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh individu yang dipilih rakyat.

"Walaupun kebebasan bersuara merupakan hak asasi manusia, ia datang dengan tanggungjawab, dan sesiapapun tidak boleh mencabuli hak ini dengan menggunakannya untuk mempersenda, memberi gangguan mental dan/atau menimbulkan kacau ganggu awam.

"Sebarang ungkapan yang menjatuhkan maruah seseorang merupakan pancabulan hak asasi yang nyata," kata Suhakam.

Sidang Dewan Rakyat pada minggu lalu dicemari insiden sindiran dan kecaman dilakukan oleh anggota parlimen kerajaan terhadap pembangkang.

Misalnya Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mempersenda Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) dengan mengaitkannya dengan warna kulit. Abdul Azeez kemudian meminta maaf selepas diarah Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun.

Suhakam berkata ketika ini sidang parlimen disiarkan secara langsung. Justeru, katanya, sikap buruk ahli parlimen boleh menjadi ikutan, terutamanya golongan belia.

Manfaatkan masa yang terhad

"Suhakam menyeru ahli-ahli parlimen untuk lebih menyedari akan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.

"Penting bagi pemimpin-pemimpin negara untuk menunjukkan contoh yang baik dan mempraktikkan kesopanan, rasa hormat dan rendah hati dalam interaksi mereka di parlimen.

"Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 2001 bagi memasukkan gender sebagai hal yang dilindungi daripada diskriminasi," katanya.

Tambah Suhakam masa yang terhad sepatutnya dimanfaatkan untuk ahli-ahli parlimen berbahas mengenai yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara berbanding melakukan serangan peribadi.

Kata suruhanjaya berkenaan seseorang pemimpin mesti mempromosikan perpaduan dan keharmonian tanpa mengira gender atau bangsa, bukan sebaliknya.

"Suhakam berharap kerajaan dan wakil yang dipilih mempunyai kemahuan politik untuk memimpin negara ke arah membasmi diskriminasi gender dan perkauman bagi menuju transformasi demokrasi pada setiap peringkat.

"Kami sentiasa bersedia untuk memainkan peranannya dan menyokong proses ini," katanya.

Lihat Komen
ADS