Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU tingkat hukuman kemalangan akibat pemandu mabuk, cuai dibentang
Diterbitkan:  Jul 27, 2020 1:50 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

PARLIMEN | Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi menguatkuasakan hukuman yang lebih tinggi terhadap pemanduan cuai atau dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

RUU tersebut menaikkan tempoh penjara dan nilai denda untuk beberapa bahagian, dengan pesalah berulang berdepan hukuman yang lebih keras.

Bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai, Seksyen 41(1) Akta itu akan dipinda dengan meningkatkan hukuman penjara kepada lima tahun berbanding dua tahun sebelum ini. Bagi pesalah berulang, mereka boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun.

Denda di bawah seksyen itu juga dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 untuk pesalah pertama, dengan ulangan kesalahan melibatkan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Penggantungan lesen juga dinaikkan kepada lima tahun berbanding tiga tahun sebelum ini.

Bagi kesalahan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang mengakibatkan bahaya, RUU itu meminda Seksyen 44 untuk memasukkan hukuman atas kesalahan menyebabkan kecederaan.

Seksyen 44(1A) yang baru menyatakan mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan mengakibatkan kecederaan boleh dipenjara antara tujuh hingga sepuluh tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, bagi pesalah pertama.

Pesalah berulang pula boleh dipenjara antara sepuluh hingga 15 tahun dan didenda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Lesen pesalah juga akan digantung sekurang-kurangnya tujuh tahun bagi kesalahan pertama, dan sepuluh tahun bagi kesalahan berulang.

Sementara itu, menurut seksyen itu lagi, mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan mengakibatkan kematian, hukuman penjara dinaikkan kepada antara sepuluh hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Pesalah berulang pula berdepan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Mereka juga dilarang memandu sekurang-kurangnya selama 10 tahun untuk kesalahan pertama, dan sekurang-kurangnya 20 tahun untuk kesalahan berulang.

RUU itu turut mencadangkan untuk menaikkan hukuman bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol kepada sehingga dua tahun penjara dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 bagi kesalahan utama. Lesen pesalah juga akan digantung selama dua tahun.

Pesalah berulang pula boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, dengan lesen mereka boleh digantung sehingga lima tahun.

Hukuman bagi mereka yang menjaga kenderaan di bawah pengaruh dadah dan alkohol, walaupun mereka tidak memandu dinaikkan kepada denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan setahun penjara bagi kesalahan utama. Lesen mereka juga boleh digantung selama dua tahun.

Pesalah berulang boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penjara sehingga lima tahun, dengan lesen digantung sehingga lima tahun.

Had bagi kandungan alkohol dalam badan juda diturunkan kepada 22 mikrogram dalam setiap 100ml nafas, 50mg bagi setiap 1000ml darah, dan 67mg bagi setiap 100ml air kencing.

Lihat Komen
ADS