Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Wang tunai dari lelaki tak dikenali, sumbangan kepada Yayasan Akalbudi'

Seorang pengurup wang, Omar Ali Abdullah memberitahu mahkamah bahawa dia dimaklumkan Yayasan Al-Bukhari merupakan antara penyumbang yang menyerahkan sejumlah wang tunai kepadanya, untuk dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi.

Kata Omar Ali, dalam satu pertemuan sekitar 2014, Ahmad Zahid telah meminta bantuannya untuk menguruskan kemasukan wang tunai ke dalam akaun Yayasan Akalbudi, dan menyerahkan nombor akaun yayasan kepadanya.

“OKT (Ahmad Zahid) pernah memberitahu saya bahawa ada penyumbang akan menghubungi saya untuk memberikan wang tunai kepada saya.

“OKT meminta saya untuk mengambil wang tunai tersebut daripada penyumbang dan meminta saya menukarkan wang tunai yang diterima itu dalam bentuk cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

“OKT juga ada memberitahu saya bahawa kesemua penyumbang yang akan menghubungi saya datang dari Yayasan Al Bukhari,” katanya dalam pernyataan saksinya.

Omar Ali ialah saksi ke-81 perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-27 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Omar Ali, kira-kira seminggu kemudian, dia dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali untuk menyerahkan wang berkenaan dari Yayasan Al Bukhari dan wang itu diserahkan kepadanya di dalam bagasi (luggage) di aras bawah Plaza Fahrenheit.

Tukar wang tunai dengan cek

Bagaimanapun, ketika disoal timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, dia mengaku tidak ingat jumlah yang diterima kali pertama itu, tetapi menganggarkan ia mungkin dalam lingkungan setengah juta.

Selepas itu, dia dihubungi lelaki-lelaki tidak dikenali dari Yayasan Al Bukhari dengan cara sama dan wang itu diterima, antaranya di tingkat bawah Plaza Fahrenheit, lobi Hotel Marriot dan lobi Hotel Grand Mellenium.

Menurut Omar Ali, setiap kali pertemuan, dia berurusan dengan lelaki yang berbeza.

Selepas menerima wang, Omar Ali berkata dia akan bertanya kepada kawan-kawannya jika mahu menukar wang tunai dengan cek mereka, sebelum cek tersebut dimasukkan ke akaun yayasan, seperti arahan Ahmad Zahid.

“Kebiasaannya saya akan mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk habis menukarkan wang tunai tersebut kepada cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

“Setiap kali saya menerima cek saya akan terus masukkan ke dalam akaun Yayayasan Akalbudi dan saya akan simpan slip kemasukkan cek tersebut sebagai bukti,” katanya sambil menambah slip tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, katanya, sekitar awal 2016, dia diarahkan oleh Ahmad Zahid agar wang yang diterima selepas daripada itu untuk ditukarkan kepada cek dan dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co.

Susulan itu, Omar Ali mengesahkan transaksi 35 cek berjumlah RM 8,975,250 kepada Lewis & Co, yang ditukarkan daripada wang yang diterima daripada lelaki-lelaki yang tidak dikenali berkenaan.

Antaranya, 19 transaksi cek daripada syarikat milik isterinya, Ekares Sdn Bhd.

“Saya telah menulis jumlah wang, tarikh dan bayar kepada Lewis & Co.Saya akan pastikan terlebih dahulu wang tunai telah dimasukkan ke dalam akaun CIMB Ekares Sdn Bhd menggunakan wang tunai yang saya terima dari lelaki yang tidak dikenali tersebut,” katanya.

Selain itu, dia turut mengesahkan 16 lagi transaksi cek daripada individu dan syarikat lain, antaranya terdiri daripada saksi-saksi sebelum ini yang berurusan dengannya sama ada mendapatkan perkhidmatan tukaran wang asing, atau pun membuat pinjaman wang dengannya.

Kebanyakan daripada mereka menyerahkan cek yang dikosongkan ruang penerima, dan dia menyerahkan wang yang diperlukan untuk sesuatu urusan kepada mereka, sebelum cek tersebut ditulis dengan nama Lewis & Co dan diserahkan kepada Ahmad Zahid.

Omar Ali mengesahkan wang yang digunakan untuk ditukarkan kepada kesemua 35 cek itu adalah wang yang diberikan oleh lelaki-lelaki yang tidak dikenali berkenaan kepadanya.

Omar Ali turut mengesahkan dia tidak meminta komisyen daripada pinjaman yang diberikan menggunakan wang tersebut, namun mengaku ada kalanya peminjam yang memberikan sendiri komisyen kepadanya, dan dia pun tidak menolaknya.

Harris: Adakah hal ini (komisyen daripada wang itu) diberitahu kepada tertuduh?

Omar Ali: Tidak.

Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan konsisten mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, sebuah badan diasaskan oleh Ahmad Zahid.

Beliau juga menjadi pemegang amanah dan penandatangan tunggal bagi yayasan berkenaan.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh melakukan pengubahan wang haram antara 29 Mac 2016 hingga 15 Julai 2016, dengan melibatkan diri secara langsung dalam dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram.

Menurut pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh melakukan pengubahan wang haram antara 29 Mac 2016 hingga 15 Julai 2016, dengan melibatkan diri secara langsung dalam dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram.

Ahmad Zahid dituduh berbuat demikian dengan cara mengarahkan Omar Ali mengubah bagi pihak dirinya sejumlah wang tunai kepada cek-cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung tengah hari esok

Lihat Komen
ADS