Sesi perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong bertukar kecoh hampir 10 minit, apabila beberapa Ahli Parlimen saling bertikam lidah.
Situasi tegang berlaku selepas Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) menggulung perbahasannya apabila Datuk Shahidan Kassim (BN-ARAU) bangun menyatakan 'Point of Order' terhadap kenyataan M Karupaiya (PH-Padang Serai) semalam.
Shahidan berkata: "Saya minta penjelasan dari Speaker (Azalina) untuk Perkara 36 (12)... supaya Speaker keluarkan peraturan iaitu Padang Serai telah mengeluarkan perkataan yang mengelirukan Dewan Rakyat dengan menyamakan kerajaan negeri Kedah seperti Israel," katanya.
Perkara 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.
Namun Timbalan Yang Dipertua Datuk Seri Azalina Othman Said tidak membenarkan Shahidan berbuat demikian kerana mahu meneruskan sesi perbahasan itu.
"Tak boleh Yang Berhormat (YB)....YB sila masukkan dalam usul persendirian," kata Azalina yang mahu meneruskan sesi perbahasan.
Keadaan terus menjadi 'panas' apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) pula bangun mempersoalkan tentang kesihatan dan keselamatan Ahli Parlimen di dalam dewan berikutan kehadiran Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) ke dewan selepas hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak yang menyaksikan himpunan orang ramai tanpa mematuhi jarakan sosial.


"Pagi tadi ada YB yang hadir ke mahkamah, tanpa pakai mask (pelitup muka) dan gambar telah tular di media sosial antaranya YB Baling (Abdul Azeez), ini telah dedahkan kita (jangkitan Covid-19)," katanya.
Namun kenyataan Rayer disangkal Abdul Azeez dengan berkata: "Saya pakai mask lah...jangan nak menipu dewan,".
Azalina menegaskan soal pergerakan keluar-masuk Ahli Parlimen dari Bangunan Parlimen adalah tertakluk di bawah bidang pemantauan Bentara dan pengawal keselamatan.
- Bernama
