Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
281 projek perumahan swasta disahkan terbengkali - KPKT
Diterbitkan:  Jul 29, 2020 7:12 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

PARLIMEN l Sejumlah 281 projek perumahan swasta meliputi 73,959 unit rumah melibatkan 48,810 orang pembeli disahkan sebagai terbengkalai di Semenanjung Malaysia sejak 2009 hingga 30 Jun tahun ini.

Bagi mengatasi masalah itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan kajian awal bagi kebolehlaksanaan pemulihan atau menyelesaikan projek perumahan swasta yang terbengkalai serta melaksanakan kaedah pemulihan.

"Pemulihan menggunakan dana kerajaan bagi projek yang memenuhi kriteria yang diluluskan Kementerian Kewangan. Pelantikan kontraktor penyelamat secara tender terbuka manakala pembayaran dibuat secara pukal setelah projek siap dipulihkan dengan CFO (Sijil Kelayakan Menduduki) atau CCC (Perakuan Siap dan Pematuhan).

Bagi pemulihan tanpa dana kerajaan iaitu pemulihan berdasarkan kelulusan atau perintah mahkamah sehingga siap dengan CFO atau CCC atau penyelesaian melalui kaedah pemulangan deposit atau wang atau penyelesaian melalui kaedah penukaran cadangan pemajuan," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mengenai jumlah terkini projek perumahan terbengkalai dan langkah penyelesaian masalah itu.

Bagi membantu meringankan beban pembeli yang terjejas, KPKT mengeluarkan surat pengesahan projek perumahan swasta terbengkalai kepada pembiaya akhir yang memberi kemudahan pinjaman termasuk permohonan pengurangan kadar faedah dan penstrukturan semula pinjaman perumahan serta pembatalan pinjaman sedia ada bagi pinjaman kerajaan.

Menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) mengenai status kerosakan struktur rumah yang dihadapi pemilik Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Melinjau, Presint 11, Putrajaya, KPKT memaklumkan kerosakan yang dialami adalah melibatkan aspek kemasan dan bukan kerosakan struktur.

Sehingga Julai 2020, daripada jumlah keseluruhan 650 unit yang habis dijual, sebanyak 602 pemilik unit menyerahkan notis kerosakan dengan 488 telah selesai diambil tindakan, 82 dalam tindakan dan 35 belum dimulakan.

Kategori aduan kerosakan di dalam unit yang dilaporkan adalah melibatkan kemasan pemasangan jubin, kemasan permukaan dinding (lepaan/cat), kemasan pemasangan tingkap atau pintu dan kerja-kerja mekanikal atau elektrikal (M&E).

“Kerja-kerja pembaikan ini dipantau Perbadanan Putrajaya (PPj) dan kementerian ini bertindak sebagai pemudah cara bagi penduduk, pemaju dan PPj agar semua aduan kerosakan dapat diperbaiki dengan segera dan teratur,” kata KPKT.

- Bernama

Lihat Komen
ADS