Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wisma Putra diarah panggil duta besar Filipina berhubung ciapan Sabah
Diterbitkan:  Jul 29, 2020 11:11 PM
Dikemaskini: 3:11 PM

Wisma Putra diarahkan untuk memanggil duta besar Filipina di Kuala Lumpur bagi menjelaskan ciapan oleh setiausaha hal ehwal luarnya yang menyentuh mengenai kedaulatan Malaysia.

Arahan yang dikeluarkan Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein itu dibuat selepas Teodoro L. Locsin Jr mengatakan di media sosial bahawa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

"Sabah tidak berada di Malaysia jika kamu ingin mempunyai kaitan dengan Filipina," kata Locsin pada Isnin.

Beliau membuat kenyataan itu ketika menjawab ciap Kedutaan AS di Filipina, yang menyiarkan gambar ketika memberi bantuan kepada rakyat Filipina yang dihantar dari Sabah.

Berikutan itu, Hishammuddin hari ini membalas ciapan itu dengan mengatakan Locsin mengeluarkan "kenyataan yang tidak bertanggungjawab".

"Ini adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan dua hala.

"@MalaysiaMFA akan memanggil Duta Besar Filipina pada hari Isnin untuk memberi penjelasan. Sabah adalah, dan akan selalu menjadi, sebahagian daripada Malaysia," katanya, sambil menandakan tweethandle rasmi Wisma Putra.

Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura membentuk Malaysia pada tahun 1963 di bawah perjanjian antarabangsa yang disebut Perjanjian Malaysia 1963.

Singapura selepas itu telah membentuk sebuah negara merdeka sendiri.

Filipina sebelum ini mengemukakan tuntutannya ke atas Sabah.

Lihat Komen
ADS