Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno putuskan tak sertai PN, tapi masih sokong kerajaan
Diterbitkan:  Jul 30, 2020 1:50 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.

"Keputusan Umno untuk tidak menyertai PN, sebagai komponen telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) di dalam mesyuarat pada 24 Julai yang lalu.

"Dalam keputusan itu, Umno berpendapat MN, yang mana piagam dan memorandum persefahamannya telah ditandatangani, adalah wadah terbaik untuk Umno, PAS dan parti komponen BN dalam menghadapi apa jua kemungkinan dalam waktu terdekat ini," katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Pengumuman Zahid hari ini sekaligus menutup ramalan sebelum ini bahawa PN yang kini diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan didaftarkan sebagai gabungan politk yang rasmi sebelum menghadapi PRU15.

PN merupakan gabungan yang merangkumi Umno, PAS, Bersatu termasuk kem bekas timbalan presiden PKR Mohamad Azmin Ali serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan secara tidak rasmi susulan 'Langkah Sheraton' pada Februari yang lalu.

Walaupun beberapa langkah awal termasuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji pendaftaran PN sebagai gabungan politk yang rasmi, namun ia tidak tercapai ekoran dakwaan pertindihan pembahagian kerusi parlimen khususnya antara Bersatu dan Umno.

Untuk rekod, selepas pasca PRU14 yang lalu, sebanyak 15 ahli parlimen Umno keluar parti dan menyertai Bersatu menyokong Kerajaan Pakatan Harapan.

Sementara itu, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengesahkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyatakan hasrat parti itu menyertai MN.

"Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN.

"Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi. Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk Umno dan PAS memberi keutamaan bagi mernperkukuhkan MN.

"Saya akan rnenyerahkan kepada JK Induk MN untuk mempestimbangkan hasrat Bersatu sekiranya berkernampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Ketika ditanya apakah keputusan tidak menyertai PN secara rasmi merupakan langkah awal menghadapi PRU15, Zahid membalas ia lebih kepada langkah yang diambil selepas mengambil pertimbangan semasak-masaknya.

"Ini bukan kadar langkah awal, tapi pada hemat saya ia merupakan langkah yang telah difikirkan semasak-masaknya oleh kepimpinan Umno dan BN," katanya.

Ditanya sama ada ia mempunyai kaitan dengan keputusan mahkamah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, Zahid berkata: "Itu terpulang kepada pengamal media untuk melakukan tafsiran."

Lihat Komen
ADS