Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Pembentukan k'jaan baru Sabah gagal dengan pembubaran DUN
Diterbitkan:  Jul 30, 2020 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Usaha penubuhan kerajaan baru di Sabah telah digagalkan selepas ketua menterinya Shafie Apdal memohon agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, katanya, BN akan mengadakan perbincangan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.

"Kemelut politik di Sabah harus diselesaikan. Biarpun usaha untuk membentuk kerajaan baru itu telah dinafikan dengan nasihat daripada ketua menteri kepada Yang di-Pertua Negeri (Juhar Mahiruddin).

"Hakikatnya pembubaran ini telah menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat untuk menentukan dalam bentuk mandat baru yang diberikan," katanya ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu hari ini, Shafie mengumumkan Yang Di-Pertua Negeri berkenan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Pengumuman Shafie dibuat ketika sidang media selepas mengadap Juhar di Istana Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hanya beberapa jam selepas bekas ketua menteri, Musa Aman mendakwa memiliki sokongan majoriti Adun untuk membentuk kerajaan negeri.

Semalam, Musa, yang merupakan Adun Sibuga dalam sidang media mendakwa memperolehi Akuan Bersumpah (SD) daripada Adun yang menyokongnya, tetapi tidak menyatakan jumlahnya.

Berhubung persediaan menghadapi PRN, Zahid berkata perbincangan akan dibuat di peringkat BN memandangkan tiada gabungan Muafakat Nasional (MN) di Sabah.

"Tetapi kita mempunyai BN Sabah dan kita juga mempunyai Umno Sabah.

"Umno Sabah diberikan kuasa autonomi. Maka apa-apa pertimbangan akan saya bincangkan terutama dengan kepimpinan Umno negeri dan juga Musa Aman sendiri, serta parti-parti politik lain yang bersama-sama dengan BN," katanya lagi.

Dia berkata lagi, keutamaan harus diberikan kepada rakyat dalam sebarang penyelesaian berkenaan ketidakstabilan kerajaan.

"Saya berharap apa yang berlaku di Sabah dijadikan iktibar di neger lain kerana keutamaan adalah kepada rakyat," katanya lagi.

Dia juga menyatakan keyakinan bahawa Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berhubung PRN di tengah-tengah penularan Covid-19.

Lihat Komen
ADS