Malaysiakini
BERITA

Shahrir: Umno kini dah jauh meninggalkan dilema dihadapi KJ

Diterbitkan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terus 'ditembak' selepas memberi kenyataan mengenai kedudukan Umno kesan pensabitan kesalahan jenayah Najib Razak oleh mahkamah baru-baru ini.

Kini bekas menteri dan ahli politik veteran Umno, Shahrir Samad.

Menurut tokoh yang sebelum ini menjadi ahli parlimen Johor Bahru itu dia berasa hairan kerana Khairy masih menganggap Umno masih belum mampu bergerak ke depan.

"Seolah-olah Umno masih berada dalam kebingungan akibat kekalahan di PRU14," katanya dalam satu komentar di media sosial malam tadi.

Menurut Shahrir, pada pada pandangan Khairy Umno dilihat masih mahu mempertahankan Najib yang juga bekas perdana menteri dan presiden parti berkenaan.

Sebenarnya, kata Shahrir, dia melihat Khairy seperti "ketinggalan" dan berada dalam penafian terhadap perkembangan yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

"Banyak perubahan yang telah berlaku semenjak YB Khairy gagal dalam pemilihan jawatan-jawatan Umno," katanya lagi.

Akan terus ke hadapan

Semalam Khairy menyatakan rasa kesalnya kerana dikritik apabila memberikan pandangan agar partinya bergerak ke hadapan susulan Najib didapati bersalah atas semua tujuh pertuduhan yang dikenakan padanya.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata dia masih setia peada Umno namun tetap menyatakan isu yang dianggapnya ditakuti untuk diluahkan orang lain.

Kata Khairy, pandangan yang sama pernah dinyatakan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi ahli parlimen Gua Musang itu tidak dikecam sepertinya.

Khairy Jamaluddin

“Tengku Razaleigh cakap benda yang hampir sama. Yakni, minta pemimpin tertentu untuk memberi laluan. Tetapi beliau tidak dikecam macam saya.

"Mungkin mereka takut nak kecam atau perli Ku Li. Mesej (kami) sama tapi kerana KJ, pembawa mesej ditembak.

“Saya tidak kisah pembawa mesej ditembak, tapi kalau tidak menghiraukan mesej yang dibawa, Umno akan terus dipandang serong oleh rakyat,” katanya. 

Menurut Shahrir sebenarnya Umno dan BN sudah "ke hadapan dan akan terus ke hadapan" - bukannya seperti yang dianggap Khairy - untuk mendapatkan kembali mandat rakyat secara terhormat dan berprinsip dalam PRU akan datang.


Baca Beri jalan kepada orang lainlah, kata Ku Li


Kata Shahrir, Umno dan PAS sedar sokongan yang diberikan kepada Muhyiddin Yassin adalah untuk sementara waktu saja demi "menyelamatkan keadaan".

"Kerana itu, Umno dan PAS memahami sokongan kepada kerajaan Muhyiddin (yang Khairy menjadi seorang menteri dalamnya, sedangkan ianya sesuatu jawatan yang boleh ditolak) adalah untuk menyelamatkan keadaan buat sementara waktu," katanya.

Tambah Shahrir Umno dan BN pada ketika ini sangat berbebeza berbanding keadaan mereka selepas kalah kepada PH pada Mei 2018.

"Tidak timbul soal biadab di pihak Khairy kerana Umno ketika ini sudah jauh ke hadapan, meninggalkan dilema yang dihadapi Khairy selepas PRU ke-14," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.