Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langkah baik beralih pada bantuan bank bersasar

Kebimbangan di kalangan rakyat berkenaan sama ada moratorium enam bulan bagi pinjaman akan dilanjutkan oleh pihak industri perbankan selepas September telah terjawab apabila perdana menteri pada Rabu (29 Jun) mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar.

Rumusan ringkas mengenai lanjutan moratorium adalah seperti berikut:

  • Lanjutan moratorium selama 3 bulan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan tahun ini dan bagi mereka yang masih menganggur; dan

  • Pengurangan bayaran ansuran bulanan selaras dengan kadar pengurangan gaji bagi individu yang mengalami potongan gaji tertakluk kepada jenis pinjaman.

Selain itu, pihak bank juga telah menyatakan komitmen untuk membantu para peminjam (individu dan PKS) dengan hanya membayar faedah untuk jangka masa yang ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pembayaran bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan dan juga pelepasan lain sehingga kedudukan kewangan peminjam menjadi stabil.

Pengumuman ini sememangnya keputusan yang tepat dan dialu-alukan kerana ia bertujuan mengurangkan beban rakyat Malaysia yang berada dalam keadaan kewangan yang tidak kukuh di samping mengambil kira keadaan mereka yang cuba untuk menstabilkan kehidupan mereka.

Bagi menunjukkan bagaimana moratorium tersebut telah banyak membantu individu dan perniagaan, sehingga 20 Julai, lebih 7.7 juta peminjam individu (93 peratus jumlah keseluruhan) telah mendapat manfaatnya yang bernilai RM38.3 bilion.

Untuk PKS pula, 243,000 (95 peratus jumlah keseluruhan) telah menggunakan moratorium bernilai RM20.7 bilion, berdasarkan teks ucapan PM.

Secara keseluruhan, nilai moratorium yang telah dimanfaatkan oleh peminjam individu dan PKS berjumlah RM59 bilion.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa sidang parlimen, Malaysia merupakan salah sebuah negara terawal melaksanakan moratorium pinjaman automatik berbanding dengan negara lain yang tidak berbuat demikian seperti Singapura, Thailand, UK, Itali, Amerika Syarikat dan Kanada.

Bantuan jangka pendek

Jadi, kita dapat lihat moratorium ini sedikit sebanyak berjaya membantu rakyat dalam menghadapi krisis dalam jangka pendek.

Walaupun peluang jangka pendek telah diberikan bank kepada rakyat agar mereka dapat membuat simpanan dengan menyertai moratorium ini, tidak semua mengambil keputusan untuk turut serta.

Lantaran itu, jumlah peminjam individu yang memilih untuk tidak menyertai moratorium meningkat daripada 331,000 pada April kepada 601,000 pada Julai. Bagi PKS pula, jumlah peniaga yang tidak menyertai moratorium meningkat daripada 5,000 kepada 13,000.

Kenaikan dalam angka tersebut adalah seiring dengan keputusan pihak kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi pada awal Mei. Langkah ini telah membantu para peniaga untuk beroperasi semula selepas perniagaan mereka terjejas di peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini diikuti pula bantuan melalui pelan pemulihan ekonomi jangka pendek (Penjana) yang diumumkan pada 5 Jun seperti lanjutan Program Subsidi Upah dan insentif pengambilan pekerja.

Dasar-dasar ini telah membantu dalam pemulihan sebahagian ekonomi negara kita. Justeru, hal ini menjelaskan keputusan peminjam individu dan PKS untuk tidak menyertai moratorium.

Namun, masih ada perniagaan dan individu yang belum pulih daripada krisis ekonomi ini dan masih terbeban. Seperti yang ditulis dalam artikel saya sebelum ini, terdapat beberapa statistik yang boleh menyokong kenyataan ini.

Pada Mei, kadar pengangguran secara keseluruhan meningkat kepada 5.3 peratus berbanding 5 peratus pada April bersamaan kenaikan pengangguran sebanyak 47,300 kepada 826,100 orang.

Jika kita lihat statistik yang terbaru, berdasarkan tuntutan faedah Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), angka kehilangan pekerjaan sudah mencecah 62,247 pada minggu ketiga dalam bulan Julai.

Tambahan pula, The Edge melaporkan terdapat 4,542 permohonan untuk menghentikan operasi perniagaan yang telah diproses oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semasa PKP antara 1 April hingga 19 Julai.

Sediakan penimbal

Dalam usaha untuk cuba pulih daripada krisis yang belum pernah terjadi sebelum ini, bank perlu lebih awal menyediakan penimbal sekiranya terdapat lebih banyak bantuan yang diperlukan pada masa hadapan.

Sebelum ini, menteri kewangan telah menyatakan bank mengalami kerugian RM1.06 bilion setiap bulan sepanjang tempoh moratorium yang akan membawa kepada jumlah kerugian bernilai RM6.4 bilion pada akhir September.

Jadi, kerugian yang dialami bank telah menjelaskan keputusan kerajaan dan pihak bank melanjutkan moratorium hanya kepada golongan sasar selepas September berbanding dengan moratorium secara menyeluruh yang berlangsung dari April hingga September.

Usaha kerajaan untuk menangani moratorium pinjaman tampak positif kerana ia merupakan salah satu daripada isu-isu yang dibangkitkan oleh para peserta dalam perbincangan kumpulan fokus untuk kaji selidik suku tahunan EMIR Research yang akan datang.


SOFEA AZAHAR merupakan penganalisis penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS