Malaysiakini
BERITA

Menteri: SPRM boleh buka semula kes banglo Guan Eng jika ada bukti baru

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Ogs 2020, 3:23 petang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk membuka semula siasatan berhubung pembelian banglo bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng jika ada bukti baru.

Dalam jawapan bertulis parlimen, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata tidak ada halangan bagi SPRM untuk melakukannya kerana ia adalah badan penguatkuasaan yang bebas.

"SPRM adalah sebuah badan bebas dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Tiada halangan untuk membuka semula siasatan sekiranya terdapat fresh evidence (bukti baru) di dalam kes tersebut," katanya sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Takiyuddin berkata, peguam negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Tommy Thomas pada awalnya telah memohon ke mahkamah untuk pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes berkenaan.

"DNAA bermaksud tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan dan bukan bermaksud pelepasan sepenuhnya.

"Namun demikian mahkamah setelah mendengar hujah pihak peguam negara terdapat new lead (petunjuk baru), mahkamah telah memberikan pelepasan sepenuhnya kepada tertuduh.

"Selepas itu peguam negara tidak lagi membuat apa-apa permohonan rayuan berhubung keputusan mahkamah," katanya.

Ahli parlimen PAS itu bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk membuka semula siasatan kes rasuah yang melibatkan Lim itu.

Pemimpin Umno, terutama yang dituduh dengan berbagai tuduhan jenayah, menggesa keajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin harus bertindak adil dengan mengadili pemimpin pembangkang.

Gesaan itu termasuk dari bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan atas semua tuduhan yang melibatkan SRC International Sdn Bhd dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor, yang didakwa kerana menerima rasuah.

Lim sebelum ini dituduh dengan dua tuduhan - satu kerana dituduh meminta sogokan atas pertukaran tanah dari status pertanian menjadi kediaman, dan satu lagi, untuk pembelian sebuah banglo dengan harga di bawah pasaran.

Selain itu, Lim juga dipanggil oleh SPRM berkaitan dengan projek terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Setakat ini, SPRM telah menangkap seorang pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan menyerbu tiga syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah mengaitkan siasatan dengan pengubahan wang haram.

Projek itu dirancang semasa Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.