Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai 67 saman trafik berkata semua kesalahan itu dilakukan oleh orang lain, walaupun kereta tersebut milik peribadinya.

Namun, beliau tetap berjanji akan menjelaskan semua saman trafik yang mempunyai nilai kompun RM7,820 itu, selepas diskaun.

Malaysiakini dua hari lalu mendedahkan Najib berada di tangga keenam dalam senarai anggota kabinet yang tidak membayar saman trafik. Kesalahan trafik yang dilakukan oleh kereta milik Najib itu sejak dari 1999.

"Saya tak tahu kereta itu disaman dan pihak berkenaan pun tak beritahu saya. Seperti yang anda tahu, saya tak bawa kereta, orang lain bawa kereta," katanya.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Perdana Menteri juga menggesa menteri-menteri lain yang mempunyai saman bagi kesalahan trafik supaya menjelaskannya.

"Kebanyakan ini kereta peribadi, orang lain bawa, kita pun tak sedar. Jadi sesiapa yang ada dalam list itu, kita akan ambil tindakan bayar saman. Kita akan selesaikan perkara ini," jelasnya kepada wartawan di Putrayaja semalam.

Mengetuai senarai itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, diikuti Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz.

Najib juga mengulas mengenai tindakan ke atas calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang enggan menyertai program tersebut. Menurutnya undang-undang sudah menggariskan langkah yang boleh dikenakan terhadap mereka yang berdegil.

"Kita tak ada apa-apa cadangan lain. Mereka yang berdegil, yang tak ada sebab yang munasabah, baru kita akan ambil tindakan," katanya ketika ditanya mungkinkah hukuman lain seperti menyekat calon yang engkar dari mendapat pinjaman perumahan atau pekerjaan dikenakan.

Tindakan sedang dilakukan untuk mendakwa 5,494 calon yang berdegil sejak 2004, yang tidak mengikuti latihan wajib itu tanpa sebab.

Mengikut undang-undang mereka yang gagal mengikuti latihan itu boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya.