Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keengganan ilmuwan Islam mentafsir kitab al-Quran secara mendalam dengan mengambilkira faktor-faktor kontemporari sebagai suatu yang 'merungsingkan'.

Menurut beliau sejak kebelakangan ini ilmuwan Islam seakan-akan hilang keyakinan dan keberanian untuk membuat tafsiran yang sesuai dengan keadaan semasa.

Katanya, ini mungkin disebabkan oleh kedangkalan ilmu dan kejumudan sikap yang terasuh dalam persekitaran masyarakat Islam yang juga tidak berapa maju dalam pelbagai bidang.

"Ada juga di kalangan ilmuwan Islam yang beranggapan bahawa tafsiran al-Quran telah dibuat secukupnya oleh ilmuwan terdahulu dan berpadalah dengan apa yang dijelaskan.

"Ini ternyata satu pegangan yang tidak bijak malah merugikan umat Islam," katanya ketika merasmikan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-49 di Shah Alam malam tadi.

Menurut laporan Bernama, seramai 28 peserta-14 Qari dan 14 Qariah -- akan memperdengarkan bacaan sepanjang tilawah itu yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam hingga 15 Julai.

Najib berkata al-Quran jika ditafsir dengan mendalam adalah kitab "rahsia kejayaan" yang tersimpan di dalamnya pelbagai ilmu maklumat, pedoman dan pengajaran untuk membolehkan umat Islam berjaya di dunia dan akhirat.

Daripada fakta saintifik kejadian manusia dan cakerawala yang hebat hingga kepada suruhan menuntut ilmu, berniaga, bekerja, bermasyarakat dan bernegara, semua prinsip asasnya terkandung dalam Kitabullah itu, katanya.

"Apa yang menjadi isu dalam konteks pemahaman terhadap al-Quran ialah kedangkalan dan kecetekan sebahagian besar umat Islam dalam mentafsirkan maknanya. Sehinggakan ada yang mengambil pendekatan langsung meletakkan nilai al-Quran setaraf dengan buku-buku panduan dan karya manusia yang lain.

"Ini sudah tentu satu hal yang menyimpang dan memesongkan. Pada hal, al-Quran adalah Kalam Allah dan tidak mungkin dapat ditandingi oleh kebolehan manulis dan berkarya," katanya.

Najib berkata ramai yang langsung tidak mempedulikan soal makna dan tafsiran di sebalik ayat-ayat dalam al-Quran kerana hanya terhenti setakat mementingkan kemampuan membaca sahaja.

"Persoalan yang lebih besar sebenarnya adalah untuk membina umat Islam yang mantap dan kukuh, menjadi bangsa yang maju dan bermaruah dari segi peradaban moden yang merangkumi aspek ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan budaya. Dari itu, setiap umat Islam perlu berusaha untuk memahami al-Quran secara lebih holistik dan tidak setakat boleh membaca sahaja," katanya.

Beliau berkata tugas itu adalah tanggungjawab individu, ibu bapa, anak-anak, suami isteri dan ia sesuatu yang fardhu ain, bukan lagi fardhu kifayah yang hanya perlu dilaksanakan oleh golongan ulama sahaja.

Najib berkata dalam usaha memahami dan menghayati al-Qurandengan baik, umat Islam sewajarnya mempelajari dan memahirkan diri dalam Bahasa Arab iaitu bahasa asal al-Quran.

Katanya peranan al-Quranpenting difahami oleh setiap umat Islam bagi memastikan terbinanya Generasi al-Quranatau dalam Bahasa Arab "Jil al-Quran" yang mantap.

Beliau berkata Generasi al-Quran pada zaman Rasullulah telah menjadikan al-Quran sebagai sumber inspirasi dan citra kehidupan sehingga terciptanya kegemilangan Islam dalam pelbagai lapangan dan mampu menjadi empayar terbesar dan terkuat.