Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Seputeh gesa SPRM ambil tindakan isu skandal bangunan Mara di Melbourne
Diterbitkan:  Aug 6, 2020 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mula menyiasat berkenaan skandal bangunan Mara di Melbourne.

Kok juga mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memulakan langkah menyiasat isu tersebut selaras engan kenyataan antirasuahnya.

“SPRM seharusnya mula menyiasat sekarang kerana (pihak) Australia telah mendakwa dua suspek rakyat Malaysia yang dikatakan 'orang tengah' dalam isu skandal bangunan Mara yang didakwa turut melibatkan pegawai awam Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, portal The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa Boon Lye Teen, atau dikenali sebagai Dennis Teen didakwa pada 9 Julai lalu.

Teen didakwa telah merasuah seorang pegawai warga asing dan dikenakan empat tuduhan akaun palsu yang berkaitan dengan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Incorporated Sdn Bhd, anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Teen, 68, dipercayai seorang warganegara Malaysia yang bermastautin di Australia, dituduh memberi rasuah kepada pegawai awam asing pada 8 Mac 2013, di Vermont South, Melbourne.

Pendakwaan itu hadir selepas penyiasatan selama lima tahun oleh The Age and The Sydney Morning Herald yang kemudian mendedahkan harga hartanah didakwa meningkat sebanyak AU$4.75 juta (RM14.25 juta) sebagai sogokan kepada beberapa pegawai awam Malaysia.

Menerusi butiran dari Mahkamah Majistret Melbourne, didakwa harga hartanah untuk dijual itu dipersetujui dengan jumlah AU$17.85 juta (RM 53.55 juta) namun kemudian dijual pada harga AU$22.6 juta (RM 67.8 juta), dengan AS$4.75 juta (RM14.25 juta) bagi membayar pegawai awam Malaysia.

“Pendakwaan Teen kini menarik perhatian kepada SPRM dan kerajaan Malaysia,” kata Kok.

“Rakyat Malaysia kini sedang memerhati sama ada SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengambil tindakan terhadap pegawai awam Malaysia yang turut terlibat dalam kes rasuah tersebut.”

Jelasnya lagi, SPRM juga perlu mengambil petunjuk dari pegawai penyiasat Australia yang telah menamakan dua “orang tengah” dikenali sebagai Zach Zainal dan Erwan Azizi kerana didakwa menerima sogokan berjumlah RM14.25 juta bagi mempengaruhi pegawai awam Malaysia untuk mendapatkan atau mengekalkan perniagaan iaitu seperti penjualan kompleks pangsapuri kediaman tersebut.

“Tidak sukar bagi pihak berkuasa Malaysia untuk menjejaki dua orang tengah itu,” jelasnya.

Kok turut mengatakan pada 18 Mac 2016, dilaporkan bahawa Pengerusi Mara Annuar Musa telah menghantar dokumen berkaitan penjualan bangunan itu kepada SPRM.

Tambah Kok, pada 30 November 2017, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada ketika itu Ismail Sabri Yaakob juga dilaporkan berkata bahawa SPRM sudah selesai menyiasat skandal bangunan Mara dan badan anti-rasuah itu masih menunggu laporan pihak berkuasa Australia berkenaan transaksi tersebut.

“Bagaimanapun, empat tahun kemudia SPRM masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai awam Malaysia yang dinamakan terlibat dalam proses transaksi hartanah di Australia.

“Tindakan yang diambil oleh polis Australia terhadap Boon Lye Teen akan pasti menjadi persoalan sama ada SPRM dan AGC Malaysia juga akan mengambil tindakan sama ke atas pegawai awan Malaysia yang terlibat dalam kes itu,” katanya lagi.

Selain itu, Kok berkata Muhyiddin telah mengulangi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) serius dalam menangani rasuah dalam negara dan ini masa yang tepat bagi kerajaan mengambil langkah terhadap pegawai awam Malaysia yang terlibat dalam kes skandal hartanah yang pertama kali didedahkan pada 2015 itu.

“Jika tiada tindakan diambil, ia akan memalukan kerajaan Malaysia dan rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS