Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim soal PM: Jelaskan mengapa kurang AS$5 bilion?
Diterbitkan:  Aug 6, 2020 3:47 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mendakwa kerajaan Perikatan Nasional kekurangan akauntabiliti awam dan ketelusan.

Menurutnya, ini susulan sikap membungkam Putrajaya terhadap kritikan mengenai dakwaan “penyelesaian memberangsangkan" AS$3.9 bilion dengan kumpulan Goldman Sachs.

Penyelesaian itu adalah untuk merungkaikan penglibatan jenayah Goldman dalam menipu 1MDB bersama dengan pemimpin Malaysia dan kroni mereka.

Justeru, Lim menyoal sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersedia atau tidak untuk menjelaskan perkara itu kepada orang ramai memandangkan penyelesaian itu sebenarnya baik untuk Goldman, bukan Malaysia.

"Titik kritikal bahawa Goldman membayar AS$2.5 bilion dan bukannya AS$3.9 bilion malah ini diakui oleh firma itu.

"Pengumuman akhbar Goldman Sachs mengenai perjanjian bertarikh 24 Julai mengesahkan bahawa Goldman dan bukannya kerajaan Malaysia yang memperoleh penyelesaian baik dalam membayar AS$2.5 bilion untuk merungkai semua proses jenayah dan prosiding di Malaysia terhadap Goldman.

"Bukan sahaja pertuduhan jenayah terhadap 17 pengarah mereka sekarang dan bekas pengarah mereka digugurkan, malah tidak ada tuduhan lanjut akan dikenakan terhadap Goldman, anak syarikatnya, atau mana-mana pengarah, pegawai dan pekerja mereka (tidak termasuk bekas pegawai Tim Leissner dan Roger Ng) yang berkaitan dengan 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas menteri itu memetik Goldman sebagai berkata, pada prinsipnya, perjanjian itu akan membabitkan pembayaran AS$2.5 bilion kepada kerajaan Malaysia dan negara ini juga akan menerima hasil sekurang-kurangnya aset bernilai AS$1.4 bilion berkaitan dengan 1MDB yang disita di seluruh dunia.

Berkaitan dengan jaminan tersebut, Goldman berkata, pihaknya melakukan analisis penilaian terhadap aset erkaitan dan percaya bahawa jaminan tersebut tidak menunjukkan pendedahan risiko yang signifikan kepada firma berkenaan.

Dengan kata lain, menurut Lim, Goldman menegaskan bahawa jaminan AS$1.4 bilion yang akan diterima oleh Malaysia dari aset yang berkaitan dengan 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia tidak mungkin menyebabkan firma tersebut membuat pembayaran yang signifikan.

"Pendedahan Goldman kemungkinan terbatas kepada pembayaran tunai AS$2.5 bilion yang dijanjikan oleh Goldman," tambahnya.

Menurut Lim, ini hanya untuk mengesahkan reaksi bekas peguam negara Tommy Thomas terhadap apa yang disebut sebagai "penyelesaian baik" pada 3 Ogos.

Thomas berkata, bahawa memasukkan AA$1.4 bilion itu sebagai sebahagian daripada penyelesaian adalah pernyataan yang mengelirukan.

Katanya, Malaysia akan tetap menerima jumlah itu dari Jabatan Keadilan (DOJ) AS, dalam apa pun keadaan, dan bebas dari penyelesaian dengan Goldman kerana hubungan baik yang dijalin oleh Malaysia dengan jabatan itu setelah kerajaan PH mengambil alih jawatan pada Mei 2018.

Hak Malaysia untuk mendapatkan AS$ 1.4 bilion, kata Thomas, sama sekali tidak bergantung kepada penyelesaian dengan Goldman.

Sementara itu, Lim, dalam kenyataannya, berkata bahawa adalah jelas Goldman memperoleh penyelesaian yang menguntungkan dalam merungkai pembabitan mereka dalam skandal 1MDB.

AS$2.5 bilion, katanya, adalah hanya satu pertiga daripada AS$7.5 bilion yang dituntut oleh kerajaan persekutuan PH ketika itu.

"Bolehkah perdana menteri jelaskan mengapa kita kekurangan AS$5 bilion dan menerangkan fakta sepenuhnya kepada rakyat Malaysia?" soal Lim.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS