Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ellie desak kerajaan kenakan lesen untuk pemilik saluran YouTube

Ellie Suriati Omar mencadangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melakukan penambahbaikan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) 1981 selaras dengan perkembangan teknologi hari ini.

Antara lain, kata pengarah dan pelakon itu, akta tersebut perlu dirombak semula demi melindungi hak dan kepentingan masa depan industri perfileman tanah air.

Ellie yang juga Presiden Gabung Anak Seni itu berkata, antara penambahbaikan perlu disegerakan ialah mengenakan lesen untuk pemilik salauran YouTube kerana golongan tersebut menjana pendapatan lumayan daripada platform berkenaan.

“Sebagai pemain industri kami nak utarakan pendapat sebab ini platform anak seni sebelum sebarang penambahbaikan dilaksana kerajaan.

“Kami mahu akta baru yang lebih kukuh dan boleh membawa kebaikan menyeluruh kepada pelakon, penerbit, royalti dan muzik.

“Antara penambahbaikan itu, menteri diseru melaksanakan lesen pengguna YouTube kerana mereka berjaya dengan kandungan kreatif disiarkan,” katanya.

Menurut Ellie, 50, sekiranya tidak dikenakan lesen tersebut, ada dalam kalangan saluran pemilik YouTube akan mengambil kesempatan mengaut keuntungan peribadi.

Guna kemudahan untuk kritik

Sebagai contoh, katanya, mereka boleh gunakan wajah dia sedang berucap pada sesuatu perhimpunan tanpa mendapatkan kebenaran, kemudian dimuat naik pada saluran tertentu.

Ellie ditemui pada sidang media diskusi Gabung Anak Seni berkenaan Akta Finas 198: Relevan Yang Terbatal? di Petaling Jaya semalam.

Hadir sama sebagai panel perbincangan ialah penerbit Ada Apa Dengan Dosa, Ayu Puteh; Timbalan Presiden Gabung Anak Seni, Gibran Agi Abdul Ghaffar; dan penerbit Town Mall, Zainuddin Mohd Ismail.

Ellie juga menyatakan dia tidak kisah jika saranannya itu mendapat kritikan kerana sudah tidak tahan melihat penggiat seni sering menjadi mangsa keadaan.

“Sekiranya mereka ingin mengecam saya, silakan. Kami ada alasan tersendiri kenapa menggesa kerajaan untuk melaksanakan lesen tersebut.

“Kenapa tidak kamu (pemilik saluran YouTube) membayar lesen? Tak suka saya cakap macam tu? Dah tu, kamu hasilkan kandungan kreatif," katanya.

Bagaimanapun, kata Ellie saranan berkenaan bukan untuk dikuatkuasakan ke atas pengguna Facebook mahupun TikTok.

Terdahulu, Saifuddin mengundang perhatian ramai selepas mengumumkan lesen daripada Finas diperlukan dalam semua bentuk penggambaran, rakaman media sosial peribadi semasa berhujah pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu.

Selepas menerima pelbagai kecaman dia memberi jaminan bahawa undang-undang itu tidak akan dikenakan terhadap pengguna media sosial sama ada di TikTok, YouTube atau platform lain.

Saifuddin juga berkata, Akta Finas perlu ditambah baik supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Pada sidang media sama, Ellie turut menyuarakan harapan agar Seksyen 233 dan 221 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 juga dibaik pulih.

Bagi Ellie, paling dikesali terdapat pemilik saluran YouTube yang menggunakan kemudahan itu untuk mengkritik filem tempatan hingga menjejaskan jumlah kutipan tayangan.

“Ia mengakibatkan kerugian besar kepada penerbit, pengarah dan juga kru produksi kerana tiada orang mahu menonton filem kami selepas ia digelar produk sampah.

“Industri kita bukan macam Hollywood, 10 peratus saja penggiat filem yang kaya dan selebihnya kategori B40,” katanya.

Pelakon Spinning Gasing itu menjangkakan Gabung Anak Seni yang dinaungi pelbagai lapisan karyawan dan pemain industri tanah air itu akan menyerahkan memorandum berkaitan isu dibangkitkan dalam masa terdekat kepada badan-badan kerajaan agar dapat memperkasakan pembangunan hiburan tempatan.

“Memorandum akan diserahkan kepada SKMM, Perbadanan Harta Intelek Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Kita perlukan bantuan badan-badan berkenaan dengan kadar segera kerana muncul kes terbaru membabitkan karya anak tempatan yang memerlukan perhatian segera,” katanya. 

Lihat Komen
ADS