Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Lim bukan pemimpin politik pertama ditahan semalaman

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki hari ini mempertahankan keputusan pegawainya menangkap dan menahan semalaman Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum membawanya ke mahkamah.

Mengulas kritikan susulan penangkapan Lim, Azam berkata keputusan untuk menangkap seorang suspek bergantung pada budi bicara pegawai penyiasat, dan diperuntukkan di bawah undang-undang.

Jelasnya lagi, Lim juga bukanlah ahli politik terkemuka pertama yang ditangkap dan ditahan semalaman oleh agensi tersebut.

"Jadi tak timbul masalah di mana kita macam, flight risk tidak ada isu ini satu perkara adalah tindakan budi bicara pegawai penyiasat dan kita perlu hormati lah dan sekiranya ada mana-mana pihak rasa tak puas hati, saya persilakan buat aduan di mana-mana atau bawa ke mahkamah," katanya petang tadi.

Malaysiakini menghubungi Azam untuk mendapatkan maklum balas beliau mengenai kritikan yang dilemparkan terhadap SPRM kerana menangkap bekas menteri kewangan itu.

Antara yang mengecam penangkapan Lim ialah anaknya Marcus dan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok, yang menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dalam satu kenyataan menyebut penahanan Lim semalam sebagai penahanan yang "berniat jahat dan bertujuan menyekat pembangkang."

Azam menegaskan SPRM telah mengambil tindakan yang sama dalam kes yang melibatkan ahli politik lain, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

"Dalam kes Lim Guan Eng ini, keputusan pegawai penyiasat (IO) kena dihormati. Tiada masalah apa-apa dan ini bukan kali pertama seorang pemimpin politik ditahan.

"Sebelum ini Datuk Seri Najib, Datuk Seri Rosmah, Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Azeez dan beberapa lagi yang ditahan dan esok dituduh di mahkamah," jelas beliau.

Azam menjelaskan agensi itu telah menggunakan budi bicara ketika memanggilnya ke SPRM kerana beliau perlu hadir sidang Dewan Rakyat semalam.

"Dan untuk kes LGE, untuk pengetahuan semua, pegawai penyiasat saya dan beliau telah setuju beliau datang, sepatutnya 3 petang tapi menghormati beliau ada sesi parlimen, maka kita telah benarkan dia habiskan sesi parlimen dan beliau berjanji datang lepas sesi parlimen selesai," katanya lagi.

Pagi tadi, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion itu.

Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan serta dibebaskan dengan ikat jamin.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS