Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Didenda turunkan pelitup muka: Warganet bela remaja, dakwa sikap 'berat sebelah'
Diterbitkan:  Aug 9, 2020 2:09 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Wargamaya menyuarakan pembelaan kepada seorang remaja yang dikenakan denda RM1,000 kerana menurunkan pelitup muka yang dipakainya di sebuah stesen komuter.

Mereka mempersoalkan apa yang dilihat sebagai penguatkuasaan berat sebelah terhadap peraturan pemakaian pelitup muka dengan membangkitkan gambar sejumlah ahli politik yang tidak memakainya di tempat awam.

Insiden remaja itu yang dikenakan denda disiarkan dalam sebuah video TV3 dan kini tular di media sosial.

"Seriuslah? Tak kasihan pada budak ini? Dia masih belajar, pak menteri tak pakai pelitup muka, tak amal penjarakan sosial di TV3 tak ada pula disaman.

"Adakah gelaran pak menteri ada tiket untuk lepas daripada saman?" soal seorang pengguna Twitter bernama "AFK" yang turut mengongsikan video tersebut.

Seorang lagi membalas video tersebut dengan beberapa gambar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang tidak memakai pelitup muka di satu acara.

Pemilik akaun "Nontoxic" itu menggesa polis agar mengambil tindakan terhadap gambar menteri-menteri dalam gambar yang dikongsikannya.

"Jangan buat-buat tak nampak. Gambar ada, tarikh ada. Pergi saman lekas," katanya.

Sejumlah wargamaya membangkitkan kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bahawa pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di "tempat awam yang sesak".

Bagaimanapun Ismail berkata pemakaian pelitup muka di "kawasan luas" tidak diwajibkan walaupun digalakkan.

Dalam video TV3 itu, remaja tersebut dilihat menangis setelah dikenakan denda dan berkata dia hanya menurunkan pelitup muka kerana berasa gatal.

Dalam video itu juga, anggota polis berkata ramai yang memberi alasan mereka hanya membuka pelitup muka "sekejap sahaja" walaupun arahan kerajaan adalah agar ia dipakai setiap masa ketika berada di tempat awam yang sesak.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador serta Azmin untuk mengulas perkara ini.

Sejak peraturan itu dikuatkuasakan bermula 1 Ogos lalu, timbul kekeliruan berkenaan maksud "tempat awam yang sesak".

Pada 5 Ogos, Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan senarai penuh tempat dan keadaan yang diwajibkan pemakaian pelitup muka.

Ketika tempoh awal pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu, timbul juga dakwaan pihak berkuasa lambat bertindak terhadap ahli politik dan VIP yang dirakam melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah itu.

Susulan itu, beberapa ahli politik dikenakan denda atas pelanggaran yang dilakukan.

Lihat Komen
ADS