Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: M'sia tak setuju ekstradisi Zakir ke India tapi akan hantar ke negara selamat
Diterbitkan:  Aug 9, 2020 7:38 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Jika dipilih sebagai perdana menteri Malaysia bagi kali ketiga pun, Dr Mahathir Mohamad tidak akan mempersetujui permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

Sebaliknya, dalam satu wawancara baru-baru ini bersama media WION dari India, Dr Mahathir berkata bahawa Zakir, yang memiliki status penduduk tetap di Malaysia sejak 2016, kemungkinan besar akan dihantar ke negara lain di mana "dia akan selamat".

"Keadaan di India berkaitan dengan hubungan Muslim-Hindu tidak begitu baik. Terdapat kes orang yang dihukum orang ramai tanpa melalui perbicaraan.

"Jadi, saya fikir, dia tidak disambut baik di India," kata pemimpin yang berusia 95 tahun itu.

Zakir yang kini berada di Malaysia mendapat suaka politik selepas dikehendaki di India bagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwah itu mendapat status penduduk tetap di Malaysia pada 2016, ketika pentadbiran kerajaan BN serta dilaporkan juga mempunyai kewarganegaraan Arab Saudi sejak tahun 2017.

Menjawab soalan wartawan, Mahathir menegaskan bahawa hubungan Hindu-Muslim yang tegang di India di bawah Perdana Menteri Narendra Modi telah mendorong Malaysia menolak permintaan ekstradisi Zakir.

"Kami fikir, buat masa ini, dia boleh tinggal di sini, tetapi kami ingin menghantarnya ke negara lain di mana dia akan selamat.

"Malangnya, tidak banyak negara yang bersedia menerimanya," kata Mahathir yang mempunyai hubungan tegang dengan Modi ketika menjadi perdana menteri selama 22 bulan ekoran kenyataan mengenai konflik Kashmir.

Pada 27 September tahun lepas, Mahathir dalam satu ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York berkata bahawa India dan Pakistan perlu bekerjasama dalam menangani konflik ke atas Jammu dan Kashmir.

Susulan itu, badan perdagangan India membuat seruan boikot minyak sawit dari Malaysia.

Mahathir bagaimanapun memberitahu bahawa secara keseluruhan, hubungan dua hala Malaysia dan India masih baik.

Ketika menyentuh pandangannya mengenai konflik Kashmir tidak akan diterima dengan baik oleh mana-mana perdana menteri India, Mahathir menegaskan bahawa beliau akan tetap menyuarakan kesalahan yang dilakukan di mana-mana saja di dunia.

"Ini bukan soal menyokong Pakistan, ini soal rakyat Kashmir," tambahnya.

"Bukan soal mempertahan Islam atau menjadi pemimpin dunia Islam.

"Bila saya fikir sesuatu kesalahan dilakukan oleh sesiapa, malah kuasa besar, saya sentiasa berasa bebas untuk memberikan pandangan, itu sahaja," kata Mahathir ketika dicadangkan bahawa pendirian beliau menyokong Pakistan konflik Kashmir adalah satu percubaan untuk meletakkan dirinya sebagai pemimpin dalam dunia Islam.

Walaupun sokongan yang ditunjukkan kepada Pakistan, perdana menteri negara itu Imran Khan menolak undangan untuk menghadiri pertemuan Pemimpin Muslim Kuala Lumpur pada November lalu selepas dilaporkan diberi tekanan dari Arab Saudi.

Mahathir juga ditanya berhubung pendiriannya dengan China, yang dikatakan tidak seperti sentimennya terhadap India, dan kurang kritikal terhadap tindakan negara itu terhadap komuniti Uighur yang  merupakan minoriti Muslim di republik itu.

"Hubungan kami dengan India dan China tidak sama.

"Dengan India, kami merasakan bahawa anda lebih liberal, lebih bersedia menerima kritikan.

"Tetapi dengan China, anda tahu mereka tidak. Mereka mempunyai sistem dan sudut pandangan yang berbeza," kata Mahathir.

"Ada cara untuk melakukan sesuatu. Bukan selalu melalui konfrontasi atau bahkan melalui kritikan terbuka.

"Kami akan melakukan perkara-perkara ini dengan cara kami," kata Mahathir yang menegaskan bahawa sudah ada percubaan untuk menghubungi China setelah desakan antarabangsa atas dakwaan penganiayaan terhadap lebih satu juta Uighur di wilayah Xinjiang.

"Setakat ini (cubaan menghubungi) tidak begitu baik.

"Tetapi saya rasa orang China semakin sedar akan perlunya mereka sedikit liberal terhadap umat Islam di China," kata Mahathir.

Bagaimanapun, pandangan Dr Mahathir mendorong editor eksekutif WION Palki Sharma menjawab, "Saya tidak tahu bagaimana anda membuat penilaian itu tetapi saya tidak akan membahasnya," sebelum dia melanjutkan dengan soalan berikutnya.

Mahathir yang sebelum ini menerajui kerajaan PH, juga merupakan pengasas Bersatu merangkap pengerusi parti itu sebelum disingkirkan daripada partinya ekoran pergeseran dengan presidennya Muhyiddin Yassin susulan 'Langkah Sheraton' pada lewat Februari.

'Langkah Sheraton' menyaksikan Bersatu keluar dari gabungan PH, mengakibatkan kerajaan PH tumbang dan Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri kelapan menggantikan Mahathir.

Parti baru yang diumumkan akan ditubuhkan Mahathir setakat ini telah mencetuskan gelombang di akar umbi Bersatu.

Lihat Komen
ADS