Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri PH dulu memang tak power, kata Loke menyindir
Diterbitkan:  Aug 10, 2020 8:57 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Tularnya klip video ucapan calon ketua Pemuda Bersatu (Armada) semalam mengingatkan salah seorang pemimpin DAP kepada pesanan yang diterima menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) di peringkat awal tugas mereka pada 2018.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, berkata sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan, dia bersama menteri lain menghadiri taklimat khas.

Katanya sesi berkenaan - yang turut dihadiri semua anggota parlimen PH - dikendalikan pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Mohd Shukri Abdull.

Taklimat yang diberikan ketua pesuruhjaya SPRM berkenaan, kata Loke, ialah mengenai amalan yang baik serta tatacara dalam kerajaan, khususnya hal-hal yang dibenarkan serta dilarang.

"Antara perkara yang dipesan oleh Datuk Seri Shukri kepada semua menteri dan timbalan menteri PH ialah jangan sesekali keluarkan surat sokongan kepada sesiapa, lebih-lebih lagi kepada ahli parti sendiri," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Loke yang sebelum ini dilantik sebagai menteri pengangkutan menambah, mereka bukan saja tidak dibenarkan memberi surat sokongan, malah setiap minit daripada menteri juga mesti ditulis dengan perkataan yang umum dan tidak mempengaruhi sebarang keputusan.

"Yang dibenarkan hanya seperti 'Untuk pertimbangan' atau sila teliti cadangan tersebut' saja," katanya lagi.

Itu guna jawatan

Loke berkata demikian sebagai mengulas klip video memaparkan ucapan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berkata sebagai timbalan menteri, dia dapat "permudahkan" urusan untuk membantu anggota Armada melalui exco-exco yang dilantik kelak.

Timbalan menteri belia dan sukan itu berkata demikian semasa dia berkempen bersama Armada Pahang bagi pemilihan calon Ketua Armada yang dijadual berlangsung pada 27 September ini.

"(Contohnya) ada (ahli) Armada di Pahang yang terlibat dengan pertanian, kita fikir jalan macam mana nak tubuhkan konsortium Armada Pahang yang terlibat dengan pertanian.

“Jadi kita jumpa Datuk Ronald (Kiandee - Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan beritahu ini hajat Armada Pahang. Tolong datuk, bantu kami.

“Dan saya sebagai timbalan menteri - dan Insya-Allah, ketua Armada Nasional - akan permudahkan.

Wan Ahmad Fayhsal 

"Bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri, sebagai ketua Armada dan saya akan buat salinan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk perkukuhkan.

“Itu guna jawatan! Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang. Tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga.

"Pertama, undilah saya,” kata senator itu menerusi video terbabit.

Malaysiakini sudah menghubungi Wan Ahmad Fayhsal untuk mendapatkan ulasan. 

Loke berkata cara pentadbiran kerajaan PH sangat berbeza berbanding Perikatan Nasional - yang ditubuhkan hasil tindakan sejumlah ahli parlimen gabungan itu yang berpaling tadah - ketika ini.

"Yalah... Menteri PH tak power. Datang lobi menteri pun, tak guna, semuanya tak boleh.

"Sekarang dah lain. Timbalan menteri pun dah cukup power. Surat sokongan dijadikan modal kempen pemilihan parti," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS