Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ahli lembaga pengarah tiada soalan tentang pelaburan baru RM150 juta’
Diterbitkan:  Aug 10, 2020 1:50 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa ahli lembaga pengarah (ALP) Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), tidak bertanya apa-apa soalan mengenai jumlah pelaburan baru sebanyak RM150 juta berbanding jumlah awal yang diluluskan iaitu sebanyak RM50 juta.

Dr Habibah Suleiman, 72, bekas ahli lembaga pengarah Felcra selaku saksi kelima dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Ezette A Samad berkata bahawa pada mesyuarat ALP pada Jun 2015, tiada ahli bantah atau tanya soalan berhubung jumlah pelaburan baru RM150 juta selepas diberitahu ini telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Saya fikir tidak siapa (ahli ALP) ingin tanya soalan berhubung jumlah pelaburan baru RM150 juta kerana ada keputusan (kelulusan) MoF (Kementerian Kewangan).

"Saya tidak tanya soalan, tidak antara kami menyoal," kata Dr Habibah ketika disoal balas peguambela K Kumaraendran pada perbicaraan pagi tadi.

Terdahulu, Dr Habibah ditanya adakah beliau atau ahli ALP Felcra yang lain bertanya soalan atau membantah ketika wakil Kementerian Kewangan Dr Mohd Isa Hussain merangkap ahli ALP Felcra memberitahu bahawa Felcra akan melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual di sebalik kelulusan awal oleh ALP yang hanya sebanyak RM50 juta sahaja.

Untuk rekod, Bung Moktar,60, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menghadapi tiga pertuduhan sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.8 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, dan seorang lagi bernama Norhaili Ahmad Mokhtar, 42 melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Kesemua tuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pihak peguambela bertanya beberapa soalan berkaitan memo bahagian syarikat pelaburan kerajaan (GIC) merupakan dokumen rasmi dari Felcra meminta kelulusan Kementerian Kewangan untuk menambahkan jumlah pelaburan dari RM50 juta dinaikkan kepada RM150 juta.

Mahkamah diberitahu bahawa memo tersebut disediakan oleh Dr Isa Hussain pada 13 April 2015 sebelum mendapat kelulusan Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah pada 22 April 2015.

Bagaimanapun, Dr Habibah memberitahu bahawa beliau tidak tahu mengenai kewujudan memo sehingga ia ditunjukkan oleh seorang pegawai SPRM.

"Tidak, saya tidak tahu mengenai memo tersebut," katanya ketika ditanya mengenai memo tersebut.

Namun, beliau bersetuju dengan pihak peguambela bahawa Dr Isa Hussain selaku wakil menteri kewangan berpengetahuan mengenai memo tersebut dan jumlah pelaburan baru sebanyak RM150 juta selepas terdapat tandatangan beliau di memo itu.

Terdahulu, mahkamah pagi tadi membenarkan Bung Moktar untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Dengan ketiadaan Bung Moktar, isterinya Zizie menjadi Orang Kena Tuduh (OKT) tunggal duduk di kamar tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung pada sebelah petang.

Lihat Komen
ADS