Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pasukan pendakwaan membuat permohonan untuk melakukan pindaan ke atas beberapa pertuduhan pecah amanah (CBT) dan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pindaan itu membabitkan 12 pertuduhan CBT - membabitkan frasa “diamanahkan dengan harta” yang dipinda menjadi “diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta”- serta dua pertuduhan rasuah - membabitkan pemotongan perkataan “penambahan” daripada frasa “perolehan penambahan pembekalan cip pasport” dalam pertuduhan berkenaan.

Dengan pindaan terbaru tuduhan CBT, Ahmad Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta yayasan berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM31 juta milik yayasan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran membuat permohonan itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dalam perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-31 hari ini.

Menurut Raja Rozela, perkataan “diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta” sebenarnya telah digunakan dalam pertuduhan di mahkamah rendah dan ditanda, namun “terpadam tanpa disengajakan” ketika pasukan pendakwaan menyusun semula pertuduhan dari mahkamah sesyen.

“Perkataan yang hilang itu tak diperasan sehingga baru-baru ini ketika kami membuat persiapan untuk merumuskan (wrap up) kes kami.

“Sebab pindaan ini adalah kerana pertuduhan yang sekarang ini mencadangkan harta yang menjadi persoalan (seolah-olah) menjadi hak milik tertuduh, tapi itu tidak menggambarkan pendirian sebenar kes pendakwaan,” katanya.

Raja Rozela membuat permohonan itu di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama seksyen 376 (1) Akta Kanun Tatacara Jenayah.

Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding selain prosiding di mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Seksyen 376 (1) Akta Kanun Tatacara Jenayah pula menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kawalan dan arahan dalam sernua pendakwaan jenayah dan prosiding di bawah kanun tersebut.

Dengan pindaan terbaru tuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid dituduh menerima rasuah daripada pengarah Data Sonic Group Berhad, sebagai upah bagi dirinya sebagai penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri ketika itu, dan oleh sebab itu, syarikat itu dilantik bagi melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport untuk tempoh lima tahun.

Meskipun mengakui bidang kuasa timbalan pendakwa raya untuk melakukan pindaan terhadap pertuduhan, pasukan pembelaan memaklumkan mahkamah tentang hak mereka seperti termaktub di bawah Seksyen 162 di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Seksyen itu menyatakan bahawa apabila sesuatu diubah atau ditambah selepas perbicaraan, maka kedua-dua pendakwa dan tertuduh dibenarkan untuk memanggil atau menyaman semula dan memeriksa saksi, berkaitan dengan tuduhan yang diubah atau ditambah itu.

Kata peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, mereka dimaklumkan agak lambat mengenai cadangan pindaan tersebut oleh pendakwaan.

“Kami tak boleh bersetuju (we cannot consent) permohonan oleh pendakwaan.

“[...] Kami terkejut. Kami hanya dimaklumkan pagi tadi,” katanya.

Hakim membenarkan permohonan pindaan tersebut, tetapi tertakluk di bawah Seksyen 162 yang dirujuk Hisham.

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan untuk kesemua 14 tuduhan berkenaan ketika pertuduhan itu dibaca semula dengan pindaan oleh jurubahasa mahkamah.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 tuduhan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Setakat ini, 85 saksi telah dipanggil bagi memberikan keterangan.

Perbicaraan bersambung esok.

Lihat Komen
ADS